ENG | BM
Buletin
Uqasha utama kerjaya berbanding soal cinta

Penulis: Ashraf Nasser


Uqasha Senrose tidak terkesan atau bimbang dengan kebanjiran pelakon baru.

13 Feb – Pelakon Uqasha Senrose memberitahu fokusnya pada tahun ini adalah untuk memantapkan kerjaya seninya dan enggan fikir soal cinta biarpun dikatakan sedang menjalin hubungan dengan pelakon dan pengacara Hefny Sahad.

Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata sepanjang enam tahun berkecimpung dalam dunia seni, dia bersyukur kerana sudah berpeluang untuk bekerjasama dengan nama-nama besar sekaligus menimba ilmu bermakna.

Pelakon "Paku Pontianak" ini juga berkata apabila berkaitan dengan lakonan, dia tidak bersikap selektif, sebaliknya dia lebih terbuka.

"Dalam soal lakonan, saya tidak memilih tetapi setiap kali dapat tawaran, saya suka mencuba, tak kisah sama ada dengan rumah produksi baru atau dengan pelakon yang tidak pernah digandingkan bersama.

"Macam dalam drama "Esok Untuk Kita" yang mana ia diterbitkan oleh sebuah produksi yang baru pertama kali menerbitkan drama, saya okey sebab skrip yang ditawarkan agak unik," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!

Tambah kakak kepada pelakon Nelydia Senrose ini lagi, dalam drama tersebut dia membawa watak sebagai Zulia, isteri kepada Hisham lakonan Beto Kusyairy.

Dalam pada itu, Uqasha sempat mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh Nabila Huda yang mempersoal kemampuan pelakon baru yang kini semakin ramai diberi peranan utama yang mana ia menjejaskan kualiti dan impaknya kurang memuaskan.

Menurut Uqasha, ketika dia mula menceburi bidang lakonan dia sedar tempatnya di mana dan sehingga kini dia berpegang kepada prinsip bahawa pengarah dan pelakon lain di lokasi penggambaran bukan guru yang kena ajar berlakon.

Walaubagaimanapun tidak pernah terlintas di fikirannya berasa tercabar dengan kehadiran pelakon baru sebaliknya hanya fokus kepada kemampuan dirinya sendiri sahaja yang mana dia akan ambil tawaran berlakon jika berasa mampu lakonan, dan akan menolak sekiranya ia boleh memudaratkan dirinya.

Sementara itu, dia yang kini mula menjadi sebutan ramai selepas membintangi telefilem fenomena "Pok Ya Cong Codei" arahan Sabri Yunus, menyuarakan hasratnya untuk membawa watak lasak seperti kepolisan atau yang melibatkan pertarungan satu hari nanti.

(Sumber foto: Uqasha Senrose Instagram)


Cinema Online, 13 Februari 2018