ENG | BM
Buletin
Aaron Aziz masih jadi tumpuan penerbit dan pengarah

Penulis: Nisa Irina


Aaron Aziz tolak tawaran watak lelaki muda kerana tidak sesuai dengan penampilannya.

11 Sep – Pelakon Aaron Aziz meluahkan rasa syukur apabila dirinya masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah untuk menjadi peneraju utama dalam projek filem dan drama mereka walaupun sudah lama berkecimpung dalam industri.

Walau bagaimanapun, Aaron memberitahu bahawa dia kini bersikap selektif terhadap watak yang ditawarkan kerana tidak mahu terikat dengan watak yang pernah dijayakan sebelum ini.

"Saya masih menerima tawaran membawakan watak lebih muda berbanding usia, tetapi terpaksa ditolak kerana bukan mudah menampakkan penampilan yang diminta. Takkan saya hendak bawa watak sama seperti dahulu.

"Biarpun tidak lagi kerap membawa watak besar, saya masih diberi kebebasan meneroka pelbagai karakter," katanya yang dipetik dari laporan BH Online.

Baru-baru ini, pelakon filem "Abang Long Fadil" itu dilihat membawa watak lelaki lembut menerusi persembahannya dalam program realiti komedi All Stars Buka Panggung.

Aaron mengakui watak sebegitu memberi tekanan kepada dirinya namun akan mempertimbangkan jika ditawarkan watak berkenaan jika jalan ceritanya bagus dan memberi mesej mendalam kepada masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Aaron telah bekerjasama dengan kerajaan Singapura menjalankan kerja amal dalam membanteras masalah penyalahgunaan dadah serta memberi sokongan moral kepada golongan remaja yang terbabit dengan gejala itu.

(Sumber foto: Aaron Aziz Instagram)


Cinema Online, 11 September 2019