ENG | BM
Buletin
Adil Hussain sertai "Star Trek: Discovery" musim ketiga

Penulis: Nisa Irina

Adil Hussain mula dikenali menerusi filem "Life of Pi" 2012.
Adil Hussain mula dikenali menerusi filem "Life of Pi" 2012.

9 Okt – Aktor serba boleh Adil Hussain dilaporkan bakal membuat penampilan dalam siri fiksyen "Star Trek: Discovery" musim ketiga yang akan disiarkan pada tahun 2020.

"Star Trek: Discovery" merupakan siri web televisyen Amerika yang dilancarkan pada 2017 dan ia adalah siri ketujuh dalam francais "Star Trek".

Dalam pada itu, laporan dari Mashable India menyatakan pembikin telah pun melancarkan treler "Star Trek: Discovery" musim ketiga pada Sabtu lalu di acara Comic-Con New York.

Selain Adil, siri itu turut dibintangi aktres Sonequa Martin-Green sebagai watak Michael Burnham, seorang pakar sains wanita dalam Discovery.

Namun begitu, ini bukanlah kali pertama aktor India dipilih untuk menyertai siri "Star Trek" kerana mendiang model Persis Khambatta, aktor India Amerika Maulik Pancholy serta aktres Indo-Kanada Rekha Sharma juga pernah tampil dalam siri tersebut.

Buat pengetahuan lanjut, Adil yang membuat debut dalam dunia Bollywood menerusi filem "Ishqiya", telah menggalas watak penting dalam "English Vinglish" dan mula terkenal kerana filem "Life of Pi".

Seterusnya, aktor berusia 56 tahun itu mula membintangi beberapa filem lain dalam versi Hindi, Bahasa Inggeris, Assam, Bengali, Tamil, Marathi, Malayalam, Norwegia dan Perancis.

Kali terakhir Adil muncul di layar lebar adalah menerusi filem "Kabir Singh" yang dibintangi oleh Shahid Kapoor dan Kiara Advani.

(Sumber foto: Gulf News)
(Sumber artikel: Mashable India)


Cinema Online, 9 Oktober 2019