ENG | BM
Buletin
Adik Aamir Khan buat debut di bangku pengarah

Penulis: Nisa Irina


Hubungan adik beradik Faisal dan Aamir tegang sejak terlibat dengan kes mahkamah.

30 Ogos – Adik kepada aktor Aamir Khan, Faisal Khan, bakal membuat debut sebagai pengarah dalam filem aksi thriller terbaru lakonannya berjudul "Factory".

Bagaimanapun, aktor yang turut membuat debut nyanyian dalam filem tersebut mendedahkan bahawa berita itu masih belum diketahui oleh ibu dan abangnya.

"Ibu saya sering mengatakan saya akan berjaya sebagai seorang pengarah dan saya pasti dia bakal terkejut dengan keputusan saya ini.

"Sudah lama saya bercadang untuk mengarah tetapi perkara ini berlaku dengan tidak dijangka. Pada awalnya kami sudah mempunyai pengarah (Sharique Minhaj), tetapi atas sebab pelanggaran tarikh, dia tidak dapat meneruskannya.

"Sharique yang mencadangkan supaya saya menyanyi dalam filem ini. Saya tidak berasa ragu-ragu untuk menjadi seorang penyanyi," katanya yang dipetik dari laporan NDTV.

Selain Faisal, filem yang dijangka rilis pada 2020 itu turut menampilkan pelakon lain seperti Roaleey Ryan, Raj Kumar Kanojya, Ribbhu Mehra dan Sharad Singh.

Sebelum ini, Faisal pernah membintangi beberapa buah filem seperti "Qayamat Se Qayamat Tak", "Mela", "Chinar Daastaan-E-Ishq" dan "Kontract".

Walaupun mempunyai pertalian darah daging, namun hubungan kedua-dua beradik itu dalam keadaan dingin dan pernah terlibat dengan perbicaraan di mahkamah beberapa tahun lalu.

Menurut laporan sebelumnya, Faisal membuat tuduhan bahawa Aamir telah mengurungnya di rumah serta memberinya ubat-ubatan bagi penyakit Skizofrenia walaupun dia masih normal.

Pada tahun 2008, mahkamah di Bandra telah memutuskan Faisal tidak akan berada di bawah hak penjagaan sesiapa dan bebas untuk tinggal di mana-mana sahaja.

(Sumber foto: Cinestaan & Tribune India)
(Sumber artikel: NDTV)


Cinema Online, 30 Ogos 2019