ENG | BM
Buletin
Aishwarya Rai dipilih jadi "Maleficent" Bollywood

Penulis: Nisa Irina

Aishwarya Rai dikatakan ibarat Angelina Jolie dari India.
Aishwarya Rai dikatakan ibarat Angelina Jolie dari India.

3 Okt – Bintang Bollywood Aishwarya Rai bakal meminjamkan suaranya bagi karakter pari-pari jahat Maleficent dalam filem "Maleficent: Mistress of Evil" yang dibintangi aktres Hollywood Angelina Jolie.

Filem itu akan diadaptasi dalam versi Hindi dan kini Aishwarya secara rasminya telah melangkah masuk ke alam sinematik Disney.

Ketua Studio Hiburan Disney India, Bikram Duggal berkata, Aishwarya adalah ibarat Angelina Jolie India dan kami berasa yakin bahawa aktres itu mampu mengalih suara Maleficent.

"Melihat bagaimana Angelina Jolie sangat sesuai membawa watak Maleficent, saya yakin tiada orang lain yang mampu menjayakannya selain Aishwarya Rai bagi penonton tempatan.

"Kami ingin membina satu ikatan yang kuat serta menghidupkan karakternya dalam versi Hindi. Personaliti Aishwarya yang penuh elegan dan lemah lembut adalah satu kombinasi yang sempurna," katanya yang dipetik dari Mashable India.

Filem Disney yang dinanti-nanti ramai itu bakal menjengah pawagam bermula 18 Oktober ini dalam versi Bahasa Inggeris dan Hindi.

Sekuelnya berlatarbelakangkan lima tahun selepas filem pertama, apabila hidup Maleficent berubah selepas Puteri Aurora menerima lamaran Putera Philips dan ibu Philips ingin memisahkan dunia pari-pari dan manusia selama-lamanya.

Sebelum Aishwarya, aktor Shah Rukh Khan dan anak lelakinya Aryan, telah menyertai alam sinematik Disney apabila dipilih untuk mengalih suara Mufasa dan Simba menerusi filem 'live-action' "The Lion King".

(Sumber foto: Vogue India)
(Sumber artikel: Mashable India)


Cinema Online, 3 Oktober 2019