ENG | BM
Buletin
Ajay Devgn dan Abhishek Bachchan kembali bersatu dalam filem baru

Penulis: Nisa Irina


Ajay Devgn dan Abhishek Bachchan pernah digandingkan dalam empat buah filem sebelum ini.

9 Ogos – Aktor Ajay Devgn dan Abhishek Bachchan bakal disatukan semula selepas tujuh tahun dalam filem baru yang akan diterbitkan oleh Ajay sendiri.

Bagaimanapun, filem itu masih belum diberi judul dan akan menampilkan Abhishek dan Ileana D'Cruz sebagai peneraju utama. Namun, mereka berdua tidak akan digandingkan sebagai pasangan dalam filem.

Seperti yang dilaporkan menerusi Bollywood Life, ia akan diarahkan oleh Kookie Gulati yang sebelum ini pernah menjadi pengarah kreatif bagi filem "Total Dhamaal". Filem arahan Indra Kumar itu turut dibintangi oleh Ajay.

"Filem ini berdasarkan kisah benar yang berlaku di antara tahun 1990 dan 2000 dan mengubah kewangan India. Ajay sangat menyukai dengan idea itu dan terus bersetuju untuk menerbitkannya.

"Buat masa ini, pihak produksi sedang mencari aktres yang sesuai untuk digandingkan dengan Abhishek. Penggambaran akan bermula pada penghujung tahun ini," dedah satu sumber terdekat.

Sebelum ini, Ajay dan Abhishek pernah berganding dalam empat buah filem iaitu "Zameen", "LOC Kargil", "Yuva" dan "Bol Bachchan".

Dalam perkembangan baru, Ajay kini sedang terlibat dengan penggambaran filem "Bhuj: The Pride of India" yang menampilkan Parineeti Chopra, Sonakshi Sinha dan Sanjay Dutt.

Sementara itu, Abhishek pula akan membintangi sebuah filem baru arahan Anurag Basu namun sebarang butiran lanjut masih belum diumumkan.

(Sumber artikel: Bollywood Life)
(Sumber foto: Masala!)


Cinema Online, 9 Ogos 2019