ENG | BM
Buletin
Akshay Kumar kongsi rahsia turun berat badan untuk filem terbaru

Penulis: Nisa Irina


Akshay Kumar turunkan berat badan demi jayakan watak dalam dua filem baru.

8 Ogos – Tidak dinafikan bahawa Akshay Kumar merupakan salah seorang bintang Bollywood yang mempunyai bentuk badan yang tegap dan sasa.

Terkini, dia telah menurunkan berat badan untuk menjayakan watak-watak dalam dua buah filem terbarunya, "Sooryavanshi" dan "Bachchan Pandey".

"Saya telah menurunkan berat badan untuk filem "Sooryavanshi" dan "Bachchan Pandey" kira-kira lima hingga enam kilogram. Berat saya turun secara semula jadi.

"Saya tak diet, saya cuma menggandakan senaman saya. Jika anda rasa saya kurang makan, anda salah. Saya masih makan roti paratha," guraunya sambil menafikan kenyataan yang mengatakan dia ada mengambil diet tertentu.

Selain itu, laporan dari Filmfare menyatakan aktor berusia 51 tahun tersebut amat disiplin dalam bab kesihatan dan kecergasan. Salah satu perkara asas yang diamalkannya adalah tidak makan pada waktu malam.

Beralih ke perkembangan baru, Akshay kini dilihat sedang sibuk mempromosikan filem barunya "Mission Mangal" yang akan ditayangkan pada 15 Ogos ini. Dalam filem bertemakan sains angkasa itu, Akshay akan menjayakan watak seorang saintis.

"Sooryavanshi" pula adalah sebuah filem aksi arahan Rohit Shetty dan merupakan filem polis dengan kos paling tinggi untuk dibikin tercatat dalam sejarah filem India. Ia akan ditayangkan pada 27 Mac 2020.

"Bachchan Pandey" merupakan 'remake' filem "Veeram" 2014. Ia berkisar mengenai seorang pemuda kampung yang bertempur dengan musuh kepada bapa tunangnya demi menjaga keselamatan keluarga mereka.

(Sumber artikel: Filmfare)
(Sumber foto: Askhay Kumar Twitter)


Cinema Online, 8 Ogos 2019