ENG | BM
Buletin
Alia Bhatt sentiasa amal sikap rendah diri

Penulis: Nisa Irina


Alia Bhatt sentiasa mendengar nasihat dari bapanya dan pembikin filem Karan Johar.

21 Ogos – Dilihat semakin berjaya dalam karier sebagai pelakon serta tampil dalam beberapa filem besar, aktres Alia Bhatt berkata dia telah menetapkan penanda aras yang tinggi dalam hidupnya.

"Saya berasa sedikit bimbang apabila memikirkan saya berkemungkinan akan berubah pendirian, jadi saya sentiasa memantau perkara itu.

"Saya tidak mahu bersikap terlalu yakin atau dipengaruhi oleh kejayaan. Itulah yang sentiasa dinasihatkan oleh bapa saya dan Karan Johar, sentiasa rendah diri," ujarnya menerusi laporan yang dipetik dari Times of India.

Tambah aktres berusia 26 tahun itu lagi, setiap kali filemnya berjaya mendapat sambutan, orang-orang di sekelilingnya sentiasa mengingatkannya supaya sentiasa merendah diri dan dia tidak akan membiarkan pendiriannya berubah.

Dalam pada itu, Alia telah berkongsi sebuah poster 'teaser' serta mendedahkan serba sedikit butiran mengenai jalan cerita filem Telugu barunya iaitu "RRR" menerusi laman Instagram miliknya baru-baru ini.

Kapsyen foto itu berbunyi, "Persahabatan terbaik bermula tanpa dijangka seperti Rama, Raja dan Bheem. Kami pasti anda semua mempunyai seorang rakan yang ditemui secara tidak dirancang tetapi menjadi antara orang yang terpenting dalam hidup anda".

Bercakap mengenai persiapannya, Alia mendedahkan dia berhadapan cabaran mempelajari bahasa Telugu demi menjayakan wataknya sebagai Sita. Dia juga telah merayu kepada pengarah S. S. Rajamouli untuk menjadikannya sebahagian dari filem tersebut.

Filem bergenre sejarah aksi itu merupakan sebuah fiksyen yang berkisar mengenai pejuang kebebasan India, Alluri Sitarama Raju dan Komaram Bheem yang bertempur dengan British Raj dan Nizam of Hyderabad.

Selain Alia, "RRR" turut menampilkan pelakon lain seperti N. T. Rama Rao Jr., Ram Charan dan Ajay Devgn. Filem itu dijangka bakal ditayangkan di pawagam pada 30 Julai 2020.

(Sumber foto: Vogue India)
(Sumber artikel: Times of India)


Cinema Online, 21 Ogos 2019