ENG | BM
Buletin
Amar Baharin bersyukur dapat tunai umrah sambil bekerja dengan keluarga

Penulis: Nisa Irina

Amar Baharin teruja menantikan anak keduanya selepas Aqeef Anaqi.
Amar Baharin teruja menantikan anak keduanya selepas Aqeef Anaqi.

1 Nov – Berpeluang untuk mengerjakan umrah bersama keluarga sambil bekerja merupakan satu pengalaman indah buat pelakon Amar Baharin yang baru pulang dari Tanah Suci pada Oktober lalu.

Menurut Amar, dia turut berasa syukur kerana segala urusan mengerjakan ibadah itu berjalan dengan lancar walaupun isterinya, Amyra Rosli, sedang sarat mengandung tujuh bulan.

"Kami turut menjayakan penggambaran program lapan episod, yang berkongsi pengalaman ibu bapa membawa anak kecil ke Tanah Suci.

"Ia bagi mengubah persepsi mereka yang bimbang urusan ibadat terganggu dengan kehadiran anak kecil," kata Amar yang dipetik menerusi laporan BH Online.

Program berunsur islamik yang diberi judul "Journey Of Love" itu turut mempromosikan penyedia perkhidmatan sewa khas untuk haji dan umrah, Amal, yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

Dalam pada itu, Amar meluahkan rasa teruja menantikan anak keduanya dan memilih untuk tidak mengetahui jantina anaknya sehingga pengumuman yang bakal dibuat sempena majlis 'baby shower'.

"Sama seperti cahaya mata sulung dahulu, saya memilih untuk tidak mengetahui jantina anak sehinggalah majlis 'baby shower'.

"Penantian itu membuatkan berita terbabit lebih bermakna. Walaupun pasti teruja untuk mengetahuinya, biarlah saya tunggu sehingga Disember," tambahnya lagi.

Beralih ke perkembangan baru, Amar dan Amyra kini bersatu semula di kaca televisyen selepas dua tahun menerusi drama bersiri terbaru "Cemburu Seorang Perempuan".

Drama yang diadaptasi dari novel sama judul itu turut dibintangi oleh pelakon Emma Maembong dan ditayangkan di saluran Astro Ria dan Ria HD.

(Sumber foto: Amar Baharin Instagram)


Cinema Online, 1 November 2019