ENG | BM
Buletin
Ananya Panday jadi matang dalam "Pati Patni Aur Woh"

Penulis: Nisa Irina


Ananya Panday terlibat dalam cinta tiga segi menerusi "Pati Patni Aur Woh".

20 Sep – Aktres Ananya Panday meluahkan rasa teruja kerana diberi peluang menggalas watak wanita matang dalam filem terbarunya "Pati Patni Aur Woh".

Filem itu merupakan sebuah 'remake' filem klasik dengan judul sama pada tahun 1978. Dalam filem itu, Ananya akan digandingkan dengan aktor Kartik Aaryan dan aktres Bhumi Pednekar.

Pengarah Mudassar Aziz masih mengekalkan konsep cinta tiga segi dalam filem itu, di mana Kartik membawa watak Chintu Tyagi yang sudah berkahwin dan kemudiannya jatuh cinta dengan wanita lain.

"Watak saya dan Bhumi ialah wanita yang kuat dan berani. Mereka berdua tidak mudah mengalah untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan.

"Bagi saya, ia adalah satu pengalaman baru yang hebat untuk menjayakan watak sebegitu," ujarnya yang dipetik dari Deccan Chronicle.

Dalam pada itu, Ananya yang baru-baru ini menamatkan penggambaran filem "Pati Patni Aur Woh" di Lucknow, kini telah pun melangkah ke set filem barunya bersama Ishaan Khatter, "Khaali Peeli".

Penggambaran filem romantik terbitan Ali Abbas Zafar itu dijalankan di bandar Mumbai.

"Pati Patni Aur Woh" akan menemui penonton di pawagam pada Disember tahun ini sementara "Khaali Peeli" pula pada 12 Jun 2020.

(Sumber foto: Reviews XP)
(Sumber artikel: Deccan Chronicle)


Cinema Online, 20 September 2019