ENG | BM
Buletin
Ardell Aryana masih aktif berlakon

Penulis: Nisa Irina


Ardell Aryana menghidap depresi dan anxiety, kini masih dalam proses pemulihan.

6 Sep – Walaupun semakin jarang dilihat di layar lebar, namun pelakon kecil molek Ardell Aryana dilihat masih aktif berlakon di kaca televisyen.

Bersempena dengan sambutan Awal Muharram baru-baru ini, Ardell tampil dalam sebuah telefilem berjudul "Khutbah Terakhir" di mana dia digandingkan dengan Rizz Ismail.

Naskhah arahan Emi Suffian yang ditayangkan di saluran RTM itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Kazar, Azhan Rani, Yaakob Abd Aziz, Norlia Ghani dan Ruminah Sidek.

Dalam pada itu, Ardell baru sahaja melangsungkan majlis pernikahan di kediaman keluarganya dengan pelakon dan rakan karibnya, Nadzmi Adhwa, pada 1 September.

Menurut Ardell, pada awalnya pernikahan mereka tidak dirancang dan segala persiapan telah dilakukan dalam tempoh dua bulan sahaja. Keluarganya telah pergi merisik Nadzmi pada penghujung bulan Julai lalu.

Satu rakaman video yang menunjukkan Ardell menggeletar ketika Nadzmi ingin menyarungkan cincin telah tular di laman sosial menyebabkan ada segelintir pihak yang memberi komen negatif terhadap perkara itu.

Lantaran itu, Nadzmi tampil memberi penerangan secara umum menerusi laman sosial dengan menjelaskan bahawa isterinya itu menghidap kemurungan serta 'anxiety' (kebimbangan) dan masih dalam proses pemulihan.

"Anxiety boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja. Bukan hanya pada hari pernikahan kami malah dari sebelum ini lagi.

"Pada hari pernikahan kami, ada terlalu ramai dihadapannya, isteri saya terlalu terkejut sehingga menyebabkan panic attack. Ia boleh mengakibatkan black out, pitam dan sesak nafas.

"Saya mohon jagalah hati kami suami isteri, keluarga mertua dan keluarga saya. Segala yang buruk datang dari kami, yang baik datang dari Allah. Terima kasih untuk doa yang baik-baik dan terima kasih juga untuk yang sebaliknya," jelasnya dalam entri yang dimuat naik di laman Instagram.

Pasangan Ardell dan Nadzmi telah saling mengenali antara satu sama lain selama lebih kurang lapan tahun dan mempunyai jenama pakaian tersendiri iaitu Alwadelhijab.

(Sumber foto: Ardell Aryana Instagram)


Cinema Online, 6 September 2019