ENG | BM
Buletin
Atiq Azman bersyukur rezeki lakonan semakin murah

Penulis: Nisa Irina

Atiq Azman tetap pertahan prinsip untuk elak berlakon babak bersentuhan.
Atiq Azman tetap pertahan prinsip untuk elak berlakon babak bersentuhan.

2 Okt – Pelakon Atiq Azman meluahkan rasa syukurnya apabila dia masih menerima banyak tawaran berlakon selepas dikenali menerusi drama popular "Nur" dan "Nur 2".

"Alhamdulillah, bakat saya mula mendapat perhatian ramai dan tawaran berlakon juga tidak pernah putus.

"Maklumlah, saya bermula dari bawah dan pernah menjual sotong goreng depan rumah sebelum nama dikenali peminat," katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Ternyata pencapaiannya yang semakin menyinar dalam dunia seni tidak sia-sia apabila nama Atiq tercalon dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-32 baru-baru ini.

"Terus terang, pencalonan dalam anugerah berprestij seperti ABPBH menyuntik semangat untuk saya terus memberikan yang terbaik dalam lakonan pada masa depan," tambahnya lagi.

Pelakon berusia 19 tahun itu turut mendedahkan keinginannya untuk mencabar diri dalam melakonkan pelbagai watak lain dan tidak hanya terikat dengan watak protagonis.

Sebelumnya, pemilik nama sebenar Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah itu dikenali dengan nama Raja Atiq, namun membuat keputusan untuk menukarnya selepas ramai pihak keliru namanya dengan pelakon Raja Afiq.

Baru-baru ini juga, Atiq telah mengeluarkan penyataan bahawa dia masih berpegang kepada prinsipnya iaitu tidak sesekali akan melakonkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita.

Beralih ke perkembangan lain, Atiq bakal muncul dengan sebuah drama bersiri terbaru berjudul "Cinta Itu Fairytale" arahan Tam Suhaimi, yang mana dia akan digandingkan dengan pelakon Eyka Farhana.


Cinema Online, 2 Oktober 2019