ENG | BM
Buletin
Awie bakal rai ulang tahun perak dengan konsert solo

Penulis: Ashraf Nasser


Awie mahu raikan ulang tahun ke-25 sebagai penyanyi solo.

30 Ogos – Pelakon dan penyanyi tersohor tanah air, Dato' Awie mengumumkan bakal mengadakan konsert solonya bagi meraikan ulang tahun jubli peraknya sebagai penyanyi solo.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Otman, konsert solo itu dijadualkan akan berlangsung pada bulan Februari tahun hadapan.

"Saya akan mempersembahkan seleksi lagu daripada katalog album solo dengan susunan muzik lebih segar.

"Konsert ini diadakah atas dasar meraikan ulang tahun jubli perak saya dalam dunia nyanyian solo," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!

Konsert anjuran Atirox Ltd dan IK Global Berhad ini diberi judul Konsert Awie Romantika.

Dalam konsert yang akan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam pada 15 Februari depan ini turut akan menyaksikan Awie bergandingan dengan Ratu Rock Ella untuk membuat persembahan.

Tiket konsert akan dijual pada harga RM88 hingga RM438 di www.myticket.asia.

Sementara itu, kali terakhir Awie muncul di layar perak adalah menerusi filem pecah panggung iaitu "Bikers Kental 2" bersama Zizan Razak, Dato' Afdlin Shauki dan ramai lagi.

(Sumber foto: Kosmo)


Cinema Online, 30 Ogos 2019