ENG | BM
Buletin
Bell Ngasri tiada masalah berlakon watak serius

Penulis: Ashraf Nasser


Bell Ngasri masuk ke dunia komedi secara tidak sengaja.

5 Sep – Pelakon dan pelawak popular Bell Ngasri memberitahu dia masih lagi mampu untuk menjayakan watak serius yang sering dijayakannya pada usia remaja sebelum dia kini lebih terkenal dengan watak-watak komedinya.

"Ada juga beberapa tawaran untuk saya melakonkan karakter serius, namun kalau dikira ia tidaklah sebanyak tawaran karakter komedi. Sejujurnya saya boleh melakonkan serius atau bermain dengan jiwa seperti yang pernah dibawakan ketika zaman remaja dahulu.

"Saya masuk ke dalam dunia komedi pun kerana orang lihat karakter di luar yang nampak kelakar. Jadi, apabila dah 'termasuk', saya teruskan saja," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah pelakon "Bella & Jamie" ini, dia masih lagi mampu menjayakan apa sahaja watak ditawarkan kepadanya kerana baginya seorang pelakon mempunyai tanggungjawab untuk menambah baik watak yang diberikan supaya ia memberi impak.

Dalam perkembangan lain, Bell bakal muncul dengan filem aksi komedi terbaru berjudul "Hero: Jangan Bikin Panas" yang berkisarkan mengenai anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat (BOMBA).

Menerusi filem terbaru ini Bell bakal bergandingan dengan Mark Adam dan Hisyam Hamid sebagai peneraju.

"Hero: Jangan Bikin Panas" bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 3 Oktober depan.

(Sumber foto: Bell Ngasri Instagram)


Cinema Online, 5 September 2019