ENG | BM
Buletin
"BoBoiBoy Movie 2" cipta sejarah filem animasi terlaris

Penulis: Ashraf Nasser


Mampukah "BoBoiBoy Movie 2" atasi kutipan "Munafik 2"? Sama-sama kita tunggu.

4 Sep – Animonsta Studios atau dikenali Monsta terus mencipta kejayaan demi kejayaan apabila filem animasi kedua mereka iaitu, "BoBoiBoy Movie 2", telah mencipta rekod sebagai filem animasi terlaris setelah berjaya mengutip RM27.7 juta di Malaysia sahaja dalam masa 26 hari.

Kejayaan dalam tempoh singkat ini sekaligus mengatasi jumlah kutipan filem animasi pertama mereka iaitu "BoBoiBoy The Movie" yang berjaya mengutip RM18 juta.

Lebih manis lagi, ia juga berjaya mengatasi jumlah kutipan filem animasi terbaru "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal", iaitu lebih RM26 juta yang ditayangkan pada Mac lalu.

"Kami di Monsta amat teruja dengan pencapaian "BoBoiBoy Movie 2" yang berjaya memecahkan rekod kutipan tertinggi semua filem animasi di Malaysia.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada jutaan penonton dari pelbagai bangsa dan lapisan umur yang menyokong "BoBoiBoy Movie 2"," ujarnya yang dipetik dari Sinar Harian.

Selain berjaya menjadi filem animasi nombor satu Malaysia, "BoBoiBoy Movie 2" juga berjaya mengatasi kutipan filem animasi antarabangsa yang pernah ditayangkan di Malaysia.

Filem yang ditayangkan sejak 8 Ogos lalu turut mencipta sejarahnya tersendiri apabila ditayangkan serentak di lima buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam.


Cinema Online, 4 September 2019