ENG | BM
Buletin
Daniella Sya kembali ke layar lebar

Penulis: Nisa Irina


Daniella Sya ingin cipta nama dalam industri hiburan tanah air.

5 Sep – Pelakon tanah air yang mencipta nama di Singapura, Daniella Sya, bakal kembali ke layar lebar menerusi filem "Abang Long Fadil 3" selepas hampir dua tahun tidak membintangi filem.

Daniella atau nama sebenarnya Daniella Sya Yeng Yeng, baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem aksi tersebut serta siri drama "Ombak Rindu The Series" yang akan ditayangkan di platform penstriman video iflix.

Dalam pada itu, Daniella yang terkenal dengan drama "KL Gangster: Underworld" telah membuat keputusan untuk mengejar tawaran berlakon di Malaysia walaupun tawaran yang diterimanya di Singapura lebih lumayan.

"Saya rasa industri hiburan di tanah air lebih besar dan peluang berlakon lebih luas. Saya juga mempunyai impian untuk menjayakan pelbagai watak. Saya tidak mahu kemampuan lakonan saya mendatar terhadap watak yang sama.

"Saya rasa ini keputusan tepat dan sudah tiba masanya saya membina nama di negara sendiri. Ya, saya akui mengambil masa yang lama atau mungkin umum berpendapat saya agak lewat memulakan kerjaya di Malaysia. Tidak mengapa, asalkan saya berusaha," ujarnya yang dipetik dari Kosmo Online.

Biarpun sedia maklum mengenai persaingan yang ada dalam industri seni tempatan, namun dia berpendapat bahawa setiap individu mempunyai peluang yang sama rata.

Pelakon kelahiran Sungai Petani, Kedah ini mula aktif dalam industri hiburan sejak berusia 16 tahun dan membuat debut lakonan menerusi telefilem "Bezanya Cinta" pada tahun 2008.

Sebelumnya, Daniella telah menjayakan beberapa buah drama tempatan seperti "Cinta Tiada Ganti", "Isteri Bukan Untuk Disewa", "Aurora Aisyah" dan yang terbaru "Jodoh-Jodoh Anissa", yang turut menampilkan Izara Aishah dan Aaron Aziz.

Untuk pengetahuan lanjut, Daniella pernah menolak beberapa tawaran filem Hollywood seperti "Iron Man 3", "Marco Polo", "Crazy Rich Asians" dan "Power Rangers" kerana terikat dengan komitmen lain di Singapura.

(Sumber foto: Daniella Sya Instagram)


Cinema Online, 5 September 2019