ENG | BM
Buletin
Deepika Padukone bakal galas watak atlet badminton PV Sindhu?

Penulis: Nisa Irina


Deepika Padukone dikatakan mewarisi bakat bermain badminton daripada bapanya,
Prakash Padukone.

1 Sep – Sebuah filem biopik mengenai juara Olimpik badminton wanita India 2016, Pusarla Venkata Sindhu (PV Sindhu) bakal direalisasikan pada hujung tahun ini.

Penerbit dan pelakon Sonu Sood memberitahu projek ini akan dimulakan pada penghujung tahun ini selepas lebih dua tahun ditangguh.

"Cabaran terbesar untuk menghasilkan biopik ialah penulisan skrip dan uji bakat pelakon. Skripnya telah pun disiapkan dan kami akan teruskan dengan proses pembikinan.

"Tanggungjawab untuk menyampaikan kisah mengenai seorang atlet seperti PV Sindhu menyebabkan saya tidak cukup tidur. Saya tidak ada rasa ragu-ragu dengan projek ini," katanya.

Dalam pada itu, Sonu berpendapat bahawa aktres yang paling sesuai untuk menjayakan watak atlet itu adalah Deepika Padukone, yang pernah bekerjasama dengannya menerusi filem "Happy New Year".

Menurut laporan yang dipetik dari Times of India, Deepika diketahui mempunyai bakat dalam sukan itu memandangkan bapanya adalah atlet badminton lagenda, Prakash Padukone.

Sonu mendedahkan dia telah mendapatkan hak cipta untuk menghasilkan filem biopik itu serta bertemu dengan PV Sindhu, bapanya PV Ramana dan jurulatihnya Pullela Gopichand.

Baru-baru ini, terdapat laporan yang mengatakan bahawa aktor Akshay Kumar dipilih untuk membawa watak Pullela dan berita itu telah mendapat maklum balas positif daripada Pullela sendiri.

"Saya meminati Akshay Kumar. Jika dia membawa watak saya, pasti menarik kerana dia adalah antara individu yang paling saya kagumi," kata Pullela.

(Sumber foto: Maxim Magazine)
(Sumber artikel: Times of India)


Cinema Online, 1 September 2019