ENG | BM
Buletin
Dulquer Salmaan mula jalani penggambaran filem "Kurup"

Penulis: Nisa Irina


Dulquer Salmaan akan bekerjasama dengan pengarah Srinath Rajendran buat kali kedua.

5 Sep – Selepas ditangguh pembikinan selama dua tahun, akhirnya sesi penggambaran filem Malayalam "Kurup" akhirnya mula dijalankan dan dibintangi oleh aktor Dulquer Salmaan.

Berikutan itu, Dulquer telah berkongsikan berita baik berkenaan kepada para peminat menerusi video majlis pelancaran filem itu yang dimuat naik di laman Twitter pada Ahad.

"Akhirnya, kami telah mulakan filem "Kurup"! Kami akan berusaha dan lakukan sehabis baik demi memberikan anda sebuah filem yang istimewa!

"Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh tenaga produksi," tulisnya di kapsyen status Twitter tersebut yang dipetik dari laporan Hindustan Times.

"Kurup" merupakan sebuah filem thriller jenayah yang berkisar mengenai Sukumara Kurup, seorang penjenayah paling dikehendaki di Kerala.

Pada tahun 1984, Sukumara Kurup telah memalsukan kematiannya dengan membunuh seorang lelaki dan membakar mayatnya dalam sebuah kereta sebelum melarikan diri.

Projek ini merupakan kolaborasi kedua Dulquer dengan pengarah Srinath Rajendran selepas tujuh tahun menerusi filem debutnya iaitu "Second Show".

Dalam perkembangan lain, Dulquer sedang menantikan tayangan rasmi bagi filem Hindi keduanya iaitu "The Zoya Factor", di mana dia membawa watak utama sebagai kapten pasukan kriket India, Nikhil Khoda.

Menerusi filem arahan Abhishek Sharma itu, Dulquer telah digandingkan dengan aktres Bollywood Sonam Kapoor yang memegang watak Zoya Solanki.

"The Zoya Factor" akan ditayangkan di pawagam bermula 20 September ini.

(Sumber foto: wallpapercave.com)
(Sumber artikel: Hindustan Times)


Cinema Online, 5 September 2019