ENG | BM
Buletin
Dulquer Salmaan tidak lupakan industri Malayalam

Penulis: Nisa Irina

Dulquer Salmaan ingin berlakon dalam filem dari pelbagai budaya dan bahasa.
Dulquer Salmaan ingin berlakon dalam filem dari pelbagai budaya dan bahasa.

1 Okt – Biarpun namanya semakin bersinar dalam industri filem Bollywood, namun aktor Dulquer Salmaan memberitahu dia masih mengutamakan industri Malayalam.

Dulquer, yang merupakan anak kepada aktor veteran Mammootty berkata, dia tidak akan berputus asa dan melupakan segala kerja kerasnya dalam industri tersebut.

"Berada dalam industri Bollywood bukanlah impian penuh saya dan saya tidak akan melupakan usaha saya dalam industri Malayalam. Sudah bertahun-tahun saya bekerja keras dan ia sukar untuk saya mulakan sesuatu yang baru.

"Saya tidak dapat menjangka apa yang bakal saya hadapi pada masa akan datang dan jenis tawaran apa yang saya akan terima.

"Namun, apa yang saya tahu, pangkalan terbesar saya adalah industri Malayalam dan saya tidak mampu untuk meninggalkannya," ujarnya yang dipetik menerusi laporan Times of India.

Menurut aktor itu lagi, dia tidak terlalu menumpukan perhatian terhadap populariti, sebaliknya ingin peminat menghargai usahanya dalam menjayakan sesebuah naskhah.

Selain itu, dia juga mahu bersikap lebih selektif dalam memilih tawaran dan tidak mahu berlakon dalam filem yang mudah dilupakan.

Dulquer turut mendedahkan dia ingin mencuba filem dari pelbagai budaya dan bahasa terutamanya Tamil dan Hindi kerana berpendapat setiap daripadanya mempunyai keindahan yang tersendiri.

Dalam perkembangan terbaru, Dulquer tampil dalam filem sukan "The Zoya Factor" sebagai jurulatih pasukan kriket India, di mana dia digandingkan dengan aktres Sonam Kapoor.

Filem arahan Abhishek Sharma yang diadaptasi dari novel sama judul nukilan Anuja Chauhan itu telah mula ditayangkan sejak 20 September.

(Sumber foto: Free Press Journal)
(Sumber artikel: Times of India)


Cinema Online, 1 Oktober 2019