ENG | BM
Buletin
Emraan Hashmi senang bekerja dengan Amitabh Bachchan

Penulis: Nisa Irina

Emraan Hashmi anggap kolaborasi dengan Amitabh Bachchan satu pengalaman berharga.
Emraan Hashmi anggap kolaborasi dengan Amitabh Bachchan satu pengalaman berharga.

22 Okt– Aktor Emraan Hashmi mendedahkan bahawa dia berasa teruja kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan bintang veteran Amitabh Bachchan menerusi filem terbaru mereka, "Chehre".

"Saya mempunyai pengalaman yang menarik dapat bekerja dengan Amitabh Bachchan. Dia bukan sahaja memberi impak besar kepada setiap aktor tetapi juga kepada setiap rakyat di negara kami.

"Dapat berkongsi skrin yang sama bersamanya adalah satu pengalaman berharga buat saya. Kami telah menjalani penggambaran pelbagai babak di Mumbai dan selepas ini kami akan berangkat ke Poland," ujarnya yang dipetik dari Pinkvilla.

Baru-baru ini, Bachchan telah dimasukkan ke hospital selepas disahkan menghidap penyakit sirosis hati. Sehubungan dengan itu, Emraan mengharapkan supaya bintang berusia 77 tahun itu cepat sembuh seperti sediakala.

Dalam pada itu, Emraan turut menyatakan para pelakon bersama pihak produksi akan mula mempromosikan filem "Chehre" pada Januari tahun hadapan.

Selain Emraan dan Bachchan, filem arahan Rumi Jaffery itu turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Kriti Kharbanda, Annu Kapoor, Raghubir Yadav, Dhritiman Chatterjee, Siddhanth Kapoor dan Rhea Chakraborty.

Mengetengahkan misteri thriller sebagai genre utama, filem terbitan Anand Pandit dengan kerjasama Bachchan itu dijangka untuk menemui penonton di pawagam pada 21 Februari 2020.

(Sumber foto: Koimoi)

(Sumber artikel: Pinkvilla)


Cinema Online, 22 Oktober 2019