ENG | BM
Buletin
Filem "Zharfa" satukan budaya Malaysia dan Indonesia

Penulis: Nisa Irina


Penerbit kreatif, pengarah serta barisan pelakon utama filem "Zharfa".

6 Nov – "Zharfa" merupakan sebuah naskhah hasil kerjasama negara Malaysia dan Indonesia yang diinspirasikan daripada kisah hidup seorang gadis yang penuh konflik kekeluargaan.

Menurut Yudi Pratito yang bertindak sebagai penerbit, Malaysia mempunyai banyak persamaan dengan Indonesia, di mana budaya Melayu menjadi faktor utama bagi menghasilkan filem tersebut.

Pengarah filem, Ruli Wanizar berkata, dia tidak mahu menyiapkan filem itu dalam keadaan yang terburu-buru supaya kualiti filem terjaga dan mesej yang terselit juga mampu disampaikan buat para penonton.


"Boleh dikatakan filem ini telah dihasilkan dengan baik kerana ia mempunyai pelbagai elemen seperti keagamaan, kekeluargaan, percintaan dan juga komedi yang digabungkan dalam satu filem.

"Isu yang ditampilkan dalam filem ini juga banyak berkait dengan realiti kehidupan sebenar. Jalan cerita disusun dengan kemas dengan gimik-gimik berbeza yang kami cuba satukan supaya menjadi lebih menarik," kata Ario Sagantoro selaku penerbit kreatif filem.

Ruli dan Ario ditemui di majlis sidang media yang diadakan di LYC Mother & Child Centre Sdn Bhd (TTDI) selepas tayangan perdana filem "Zharfa" yang diadakan di panggung TGV 1 Utama, Petaling Jaya, semalam.

Turut memeriahkan majlis tayangan perdana dan sidang media ialah barisan pelakon utama iaitu Kaka Azraff, pelakon Indonesia Bentari Ayu dan Anindi Zharfa serta pelakon pembantu Qazem Nor.

"Zharfa" menandakan filem ketiga bagi Kaka selepas filem "Aliff Dalam 7 Dimensi" dan "Interchange" yang dibintanginya pada tahun 2016. Walau bagaimanapun, ini merupakan kali pertama Kaka dipilih sebagai peneraju utama.

Secara ringkasnya, "Zharfa" mengisahkan seorang gadis cantik bernama Zharfa yang tinggal bersama ibu dan bapa tirinya di Malaysia. Akibat sering dilanda masalah dan konflik bersama bapa tirinya semakin tegang, Zharfa telah dihantar di sebuah sekolah pondok di Jawa Barat, Indonesia.

Filem itu turut menampilkan barisan pelakon Indonesia yang lain seperti Donny Alamsyah, Benny Ruswandi, Shelomita, Piet Pagau, Berlando Deton dan Dini Fitri.

"Zharfa" telah ditayangkan di Indonesia pada 24 Oktober lalu dan kini ia bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 7 November ini.


Cinema Online, 6 November 2019