ENG | BM
Buletin
Filem "Drive" tak akan ditayangkan di pawagam

Penulis: Nisa Irina

Jacqueline Fernandez dan Sushant Singh Rajput digandingkan dalam filem aksi "Drive".
Jacqueline Fernandez dan Sushant Singh Rajput digandingkan dalam filem aksi "Drive".

24 Sep – Penerbit filem "Drive" lakonan Jacqueline Fernandez dan Sushant Singh Rajput, Karan Johar, mengesahkan filemnya tidak akan ditayangkan di layar perak setelah sekian lama projek itu ditangguhkan.

Bagaimanapun, selepas menjalinkan usaha sama syarikatnya, Dharma Productions, bersama syarikat portal penstriman video terkenal, Netflix, Karan memutuskan untuk menayangkan filem itu di portal berkenaan.

Seperti yang dilaporkan menerusi Hindustan Times, filem arahan Tarun Mansukhani itu adalah filem pertama Dharma Productions yang akan ditayangkan secara eksklusif di portal Netflix seluruh dunia.

"Visi kami untuk "Drive" adalah untuk menghasilkan sebuah filem yang mengangkat genre aksi jenayah. Dengan adegan kejar mengejar dan aksi yang dilakonkan oleh aktor-aktor hebat, "Drive" menggabungkan kisah Bollywood dan kualiti produksi antarabangsa.

"Saya sangat teruja untuk bekerjasama dengan Netflix sekali lagi dalam membawakan filem hebat ini buat tontonan berjuta-juta peminat filem genre aksi di seluruh dunia," ujar Karan.

Selain Jacqueline dan Sushant, filem itu turut menampilkan aktor lain seperti Boman Irani, Pankaj Tripathi, Vibha Chhibber, Sapna Pabbi dan Vikramjeet Virk.

"Drive" sepatutnya akan ditayangkan di pawagam pada 7 September 2018, namun ia telah ditangguhkan sehingga 28 Jun tahun ini.

Walaupun tiada sebarang perkembangan mengenai tarikh tayangan barunya, namun filem itu hanya akan mendapat tayangan secara digital sahaja.

(Sumber foto: Filmfare & Masala)
(Sumber artikel: The Indian Express)


Cinema Online, 24 September 2019