ENG | BM
Buletin
Priyanka dan Parineeti Chopra alih suara "Frozen 2" Hindi

Penulis: Nisa Irina

Priyanka dan Parineeti Chopra mengalih suara Elsa dan Anna dalam 'Frozen 2' Hindi.
Priyanka dan Parineeti Chopra mengalih suara Elsa dan Anna dalam "Frozen 2" Hindi.

24 Okt– Impian aktres Priyanka dan sepupunya Parineeti Chopra untuk bekerjasama dalam satu filem akhirnya tercapai apabila mereka dipilih untuk mengalih suara filem animasi Disney "Frozen 2" dalam versi Hindi.

Produksi Disney India memilih Priyanka untuk mengalih suara watak utama filem animasi itu iaitu Elsa (Idina Menzel), sementara Parineeti pula sebagai adiknya Anna (Kristen Bell).

"Elsa merupakan sebuah karakter fiksyen yang berpegang teguh dengan kepercayaannya dan tenang apabila berdepan kesusahan. Ia merupakan ciri-ciri yang berkait rapat dengan saya.

"Ia adalah salah satu sebab mengapa saya ingin melibatkan diri dalam filem ini selain merupakan peluang terbaik untuk saya mempersembahkan salah sebuah filem animasi paling berjaya kepada penonton tempatan," ujar Priyanka.

Seperti yang dilaporkan menerusi Gulf News, Priyanka turut meluahkan rasa teruja dan gembira apabila mendapat tahu Parineeti akan mengalih suara Anna.

"Kami berdua tidak pernah bekerja bersama sebelum ini dan filem ini adalah filem terbaik buat kami. Ia akan menjadi satu pengalaman yang akan saya hargai sampai bila-bila," tambahnya lagi.

""Frozen" merupakan filem animasi kegemaran saya dan yang paling membuatkan saya teruja adalah saya dipilih untuk terlibat dalam filem mengenai adik beradik bersama kakak sepupu saya sendiri. Filem ini sangat istimewa dan saya tidak sabar menantikan reaksi penonton," ujar Parineeti.

Menurut Ketua Pengarah Entertainment Studio Disney India, Bikram Duggal, dia mendapati keserasian Priyanka dan Parineeti adalah sangat sesuai untuk menjayakan filem tersebut.

"Frozen 2" merupakan sekuel kepada filem "Frozen" 2013 yang diarahkan oleh Chris Buck dan Jennifer Lee. Filem animasi yang dinanti-nanti ramai ini akan ditayangkan pada 22 November depan.

(Sumber foto: Santa Banta & Fanpop)

(Sumber artikel: Gulf News)


Cinema Online, 24 Oktober 2019