ENG | BM
Buletin
Genre aksi umpama periuk nasi Tiger Shroff

Penulis: Nisa Irina


Tiger Shroff bakal tampil dalam beberapa filem aksi baru termasuk filem "War".

28 Ogos – Aktor bertubuh tegap Tiger Shroff mendedahkan bahawa dia sudah lama meminati genre aksi dan ia bagaikan periuk nasi untuk dia terus berkecimpung dalam industri filem Bollywood.

"Sejak kecil lagi minat saya hanya tertumpu kepada genre aksi. Segala kejayaan dan pencapaian saya adalah berdasarkan genre ini.

"Walaupun ia bukan genre yang mudah, namun saya berasa sangat senang hati kerana berpeluang untuk menonjolkan minat dan hasil kerja saya sejak kali pertama berlakon," luahnya menerusi laporan dari Pinkvilla.

Dedahnya lagi, dia berjaya untuk menamatkan penggambaran babak aksi yang dijadualkan untuk seminggu hanya dalam tempoh dua hari termasuk sesi latihan.

Aktor tersebut turut berpeluang untuk mempelajari serta memahirkan pelbagai jenis seni bela diri termasuk Kung Fu, Krav Maga, 'kickboxing' dan Muay Thai menerusi filem-filem yang dibintanginya.

Menurut Tiger, dia menjadikan beberapa aktor filem aksi seperti Scott Adkins, Bruce Lee dan Jackie Chan sebagai inspirasi serta mempelajari teknik-teknik seni bela diri menerusi filem mereka.

Pencapaiannya sehingga ke hari ini adalah berlandaskan kerja keras, usaha, keazaman serta rejimen dan latihan kecergasannya yang berterusan.

Selepas kejayaan filem sekuel "Baaghi 2", Tiger akan tampil dan filem ketiga iaitu "Baaghi 3" bersama aktres Shraddha Kapoor dan Ritesih Deshmukh.

Selain itu, Tiger bakal 'bertarung' dengan Hrithik Roshan dalam filem gandingan mereka iaitu "War" yang dilabel sebagai filem terhebat tahun ini, serta 'remake' filem Hollywood "Rambo".

(Sumber foto: GQ India)

(Sumber artikel: Pinkvilla)


Cinema Online, 29 Ogos 2019