ENG | BM
Buletin
"Geran" teroka dunia seni bela diri tradisional asli silat

Penulis: Nisa Irina

Pengarah dan barisan pelakon yang hadir di malam gala tayangan perdana filem 'Geran di' mmCineplexes eCurve, Damansara.
Pengarah dan barisan pelakon yang hadir di malam gala tayangan perdana

filem "Geran" di mmCineplexes eCurve, Damansara.

4 Oct – Industri perfileman tempatan yang kaya dengan filem-filem aksi kini dihiasi lagi dengan sebuah karya filem terbaru bertemakan seni bela diri tradisional asli silat berjudul "Geran".

Menurut pengarah Areel Abu Bakar, filem sulungnya itu dihasilkan di atas keinginannya sendiri kerana minat yang mendalam terhadap seni bela diri tradisional tersebut.

"Sekiranya filem "Geran" ini berjaya mendapat sambutan orang ramai di Malaysia mahupun di luar negara, sekurang-kurangnya kita dapat mengangkat semula nama seni bela diri tradisional asli silat yang semakin dilupakan.

"Idea untuk menghasilkan filem ini tercetus sejak lima tahun lalu kerana Malaysia kekurangan pelakon aksi yang mempunyai asas dalam seni mempertahankan diri.

"Ini merupakan salah satu langkah kami untuk memperkenalkan warisan budaya ke peringkat antarabangsa," ujarnya yang ditemui di malam gala tayangan perdana filem "Geran" di mmCineplexes eCurve, Damansara, pada Rabu.

Tambah Areel lagi, tempoh yang diambil untuk menyiapkan filem itu adalah lima tahun kerana dia terpaksa menghabiskan masa tiga tahun hanya untuk mencari dana.

Menarik tentang filem ini, kebanyakan pelakonnya terdiri daripada penggiat seni bela diri silat yang sudah berpengalaman untuk melakukan aksi-aksi lawan.

"Untuk mendapatkan aksi realistik dalam filem, saya memanggil pelakon yang betul-betul berpengalaman dalam silat. Tanpa menggunakan pakar aksi lagak ngeri, saya harap penonton akan berpuas hati dengan setiap aksi lawan yang disajikan," katanya.

Sesi penggambaran filem telah berlangsung selama 36 hari, bermula dari sekitar Disember 2017 hingga awal Januari 2018 di beberapa lokasi di Kedah.

Filem "Geran" berkisar mengenai Ali dan adiknya Fatimah, yang ingin mempertahankan hak dan maruah keluarga mereka selepas adik bongsu mereka, Mat Arip, terlibat dengan perlumbaan kereta secara haram dan perjudian serta mempertaruhkan geran tanah pusaka milik bapa mereka, Pak Nayan.

Diterbitkan di bawah syarikat produksi Layar Pictures Sdn Bhd, ia dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Namrom, Khoharullah, Feiyna Tajudin, Fad Anuar, Taiyuddin Bakar, Azlan Komeng, Aeril Zafrel, Adam Shahz, Nizam Zaidi dan ramai lagi.

Filem "Geran" bakal menggegarkan pawagam di seluruh negara bermula 10 Oktober ini.


Cinema Online, 4 Oktober 2019