ENG | BM
Buletin
Filem "Gully Boy" ke Anugerah Oscar 2020?

Penulis: Nisa Irina

Ranveer Singh dan Alia Bhatt dalam "Gully Boy".
Ranveer Singh dan Alia Bhatt dalam "Gully Boy".

24 Sep – Gandingan hebat aktor Ranveer Singh dan Alia Bhatt menerusi filem "Gully Boy" ternyata membuahkan hasil apabila filem itu terpilih mewakili India ke Anugerah Oscar 2020 dalam pencalonan awal bagi kategori Filem Cereka Terbaik Antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, Ranveer dan Alia mengambil kesempatan tersebut untuk mengucapkan sekalung penghargaan buat Persekutuan Filem India kerana memilih filem mereka untuk dipertandingkan dalam anugerah berprestij tersebut.

""Gully Boy" akan sentiasa menjadi salah sebuah filem kegemaran saya. Seperti biasa, saya akan terus berusaha untuk memajukan industri filem Hindi.

"Saya berasa sangat berbesar hati kerana segala titik peluh dan kerja keras para pelakon dan kru kami dalam membikin "Gully Boy" berjaya membuahkan hasil. Ini merupakan satu kebanggaan buat kami," ujar Ranveer.

Dalam pada itu, Alia juga menyifatkan filem itu adalah sesuatu yang berharga buat dirinya kerana ia turut memenangi anugerah di Festival Filem Melbourne dan ditayangkan di Jepun.

Menurut laporan dari The Indian Express, rata-rata peminat dan rakan-rakan selebriti, termasuk penyanyi pop Hollywood Nick Jonas, telah mengucapkan tahniah kepada Ranveer dan Alia atas perkara berkenaan.

Pencalonan terakhir bakal diumumkan pada 13 Januari dan Anugerah Oscar akan diadakan pada 9 Februari 2020.

(Sumber foto: Prime Video)
(Sumber artikel: The Indian Express)


Cinema Online, 24 September 2019