ENG | BM
Buletin
Hazama terkesan dengan pemergian pengarah Pitt Hanif

Penulis: Ashraf Nasser

Hasrat Hazama untuk dapat peluang bekerja dengan Pitt Hanif pada masa akan datang tidak kesampaian.
Hasrat Hazama untuk dapat peluang bekerja dengan Pitt Hanif pada masa akan datang tidak kesampaian.

1 Nov – Pelakon dan penyanyi popular Hazama mengakui dia berasa ralat dan terkesan dengan pemergian pengarah filem "Coast Guard" iaitu Pitt Hanif baru-baru ini.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi berkata dia masih lagi ingat detik-detik hari terakhir menjalani penggambaran filem itu bersama arwah sehingga kini.

"Sepanjang menjalani penggambaran filem itu, interaksi kami agak terbatas kerana masing-masing fokus terhadap kerja. Bagaimanapun, pada hari terakhir (25 Oktober lalu), kami berpeluang bersembang panjang dan buat kali pertama juga, saya dan arwah bertukar-tukar nombor telefon.

"Kami turut bersembang mengenai muzik kerana ada juga perancangan untuk saya sendiri menyanyikan lagu runut bunyi filem arahannya itu. Dia juga kelihatan gembira kerana menyedari tanggungjawab selaku pengarah hampir selesai," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Tambahnya lagi, ketika mereka sedang bersembang arwah tampak sangat santai dan tidak menyangka ia merupakan kali terakhir dia dapat melihat arwah.

Hazama turut meluahkan rasa ralatnya apabila tidak dapat belajar dengan arwah untuk memperbaiki kelemahan lakonan dan bekerja dengannya namun tidak kesampaian.

Terdahulu, Pitt Hanif atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mohd Hanif yang merupakan anak kepada pelakon veteran Fauziah Nawi ditemui lemas selepas bot dinaikinya ketika memancing terbalik di Sungai Jelai, Lipis, Pahang 26 Oktober lalu.

Dalam perkembangan lain, pelakon "Tiada Tajuk" ini bakal terlibat dengan konsert Rock Trio-O bersama Orkestra Filharmonik Petronas pada 16 dan 17 November ini bersama Datuk Hattan dan Azlan Typewriter.

(Sumber foto: Hazama Instagram)


Cinema Online, 1 November 2019