ENG | BM
Buletin
Isabelle Kaif bakal bintangi filem debut berjudul "Kwatha"

Penulis: Nisa Irina


Watak Isabelle Kaif dalam filem "Kwatha" masih belum didedahkan.

6 Ogos – Persoalan mengenai adik Katrina Kaif iaitu Isabelle Kaif yang dilaporkan akan membuat debut menerusi filem "Time to Dance" akhirnya terjawab apabila dia diumumkan akan membintangi filem "Kwatha".

Menerusi filem itu, Isabelle akan digandingkan bersama adik ipar kepada Salman Khan iaitu Aayush Sharma. Berita tersebut telah diumumkan oleh Salman di laman Twitter miliknya pada Sabtu.

Filem itu diinspirasikan dari kisah benar yang melibatkan Tentera India di mana Aayush akan membawa watak seorang pegawai tentera. Dia juga perlu menjalani latihan kecergasan bagi mendapatkan bentuk badan yang sesuai.

Bagaimanapun, butiran mengenai watak Isabelle masih belum didedahkan buat masa ini. Filem arahan Karan Lalit Butani itu diterbitkan oleh Sunil Jain, Omprakash Bhat, Aditya Joshi, Alok Thakur dan Sujay Shankarwar.

"Kami berasa teruja untuk mengumumkan Aayush Sharma dan Isabelle Kaif sebagai peneraju utama filem "Kwatha". Kwatha adalah sebuah kampung di kawasan pedalaman India dan Myanmar.

"Walaupun ia berdasarkan kisah benar, namun kami akan membuat sedikit perubahan terhadap jalan cerita," ujar Butani yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Terkini, para pelakon sedang terlibat dengan bengkel yang dijalankan khas sebagai persiapan bagi filem tersebut sebelum melawat beberapa lokasi di bahagian Timur Laut India untuk melakukan penyelidikan.

Sesi penggambaran dijangka bermula pada September depan dan filem bakal dirilis pada 2020.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Isabelle Kaif Instagram)


Cinema Online, 6 Ogos 2019