ENG | BM
Buletin
Jalan cerita dan watak jadi keutamaan Tiz Zaqyah

Penulis: Ashraf Nasser


Tiz Zaqyah enggan terus berada di zon selesa dan akan terus perbaiki lakonannya.

10 Okt – Pelakon Tiz Zaqyah mengakui bersikap selektif terhadap tawaran berlakon yang diterimanya dengan melihat jalan cerita dan watak terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurut Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, dia cuba untuk tampil berbeza bagi memberi kelainan dalam setiap lakonannya.

"Setakat, Alhamdulillah saya masih fokus dan konsisten dalam dunia lakonan. Rezeki saya dalam bidang seni masih murah apabila tawaran berlakon tidak putus-putus diterima daripada pelbagai syarikat penerbitan.

"Cuma ada ketikanya saya tidak mahu terlalu menumpukan perhatian kepada lakonan drama rantaian yang panjang. Saya juga enggan dilihat ghairah menerima tawaran berlakon berturut-turut. Soal pemilihan watak dan jalan cerita sesebuah naskhah yang ditawarkan menjadi keutamaan.


"Tahun ini, saya memang memasang azam untuk terus mempelbagaikan karya lakonan," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Dalam pada itu, pelakon "Kolestrol Vs Cinta" berkata walaupun dia sudah lebih sedekad berlakon namun dia masih lagi menganggap dirinya seperti pelakon baru yang perlu sentiasa belajar dan memperbaiki kualiti lakonannya.

Malah dia enggan terus berada di zon selesa kerana mahu terus memajukan diri dalam industri seni tanah air.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya Tiz bakal muncul dengan sebuah filem berjudul "300 Nautika" yang kini masih dalam proses pos-produksi.

(Sumber foto: Tiz Zaqyah Instagram)


Cinema Online, 10 Oktober 2019