ENG | BM
Buletin
John Abraham kembali dengan "Satyameva Jayate 2"

Penulis: Nisa Irina

John Abraham masih memegang watak seorang pegawai polis dalam "Satyameva Jayate 2".
John Abraham masih memegang watak seorang pegawai polis dalam "Satyameva Jayate 2".

3 Okt – Selepas menjayakan filem patriotik "Satyameva Jayate", kini aktor John Abraham bakal kembali dengan filem sekuelnya iaitu "Satyameva Jayate 2".

Berikutan itu, pembikin filem telah pun melancarkan dua poster rasmi pertama yang menampilkan John bersama aktres gandingannya, Divya Khosla Kumar, bertemakan patriostisme berserta bendera India.

"Saya sangat menyukai jalan cerita dalam filem pertama. Saya dapat rasa ia adalah sebuah kisah yang penonton anggap menarik.

"Dengan "Satyameva Jayate 2", sekali lagi matlamatnya adalah untuk menghiburkan penonton dengan sebuah kisah yang relevan dengan masa kini," ujarnya yang dipetik dari The Indian Express.

Menurut Divya, dia memberi keutamaan kepada jalan cerita dan watak yang dimainkan bagi sesebuah filem lakonannya seperti dalam filem terbitan suaminya, Bhushan Kumar, tersebut.

Seperti dalam filem pertama yang turut menampilkan aktor Manoj Bajpayee, Aisha Sharma dan Amruta Khanvilkar, John masih memegang watak seorang pegawai polis dalam filem sekuelnya.

Diarahkan oleh Milap Zaveri, filem "Satyameva Jayate 2" bakal dirilis di pawagam pada 2 Oktober 2020 bersempena dengan ulang tahun kelahiran Bapa Kemerdekaan India, Mahatma Gandhi.

Selain "Satyameva Jayate 2", John akan turut dilihat dalam filem terbaru arahan Anees Bazmee berjudul "Pagalpanti" bersama Anil Kapoor, Ileana D'Cruz dan Arshad Warsi.

(Sumber foto: My Good Times)
(Sumber artikel: The Indian Express)


Cinema Online, 3 Oktober 2019