ENG | BM
Buletin
John Abraham beraksi dalam filem sukan lumba motor

Penulis: Nisa Irina


John Abraham sudah lama mempunyai minat mendalam terhadap motosikal.

6 Sep – Aktor John Abraham bakal membawa minatnya terhadap motosikal ke layar perak menerusi sebuah filem sukan lumba motor yang diarahkan oleh Rensil D'Silva.

Terbaru, John telah mendapatkan kebenaran untuk menjalankan penggambaran filem itu di litar lumba berbahaya Isle Of Man TT (Tourist Trophy) bagi memfilemkan perlumbaan sebenar yang bakal berlangsung di lokasi tersebut.

"Kami akan menjalankan penggambaran filem pada April tahun depan. Perlumbaan itu biasanya akan berlangsung pada bulan Mei dan Jun, jadi kami ingin merakamkan sendiri intipati sebenar perlumbaan, termasuk Southern 100 dan TT klasik.

"Saya boleh katakan filem ini lebih kurang filem "Rush". Ia bukan sahaja melibatkan perlumbaan, tetapi juga mengenai emosi dan perasaan manusia," dedahnya menerusi laporan yang dipetik dari Hindustan Times.

Tambahnya lagi, filem itu proses pembikinan filem itu sudah bertahun dijalankan dan segala perancangan telah diatur dengan sehabis baik untuk pihak produksi teruskan.

Penggambaran itu menandakan ia adalah filem Hindi pertama yang difilemkan di Isle Of Man TT. John turut menemui Menteri Enterprise, Laurenece Skelly, yang memberi kebenaran kepada pihak produksi untuk menjalankan penggambaran.

Beralih ke perkembangan lain, John baru sahaja selesai penggambaran filem arahan Anees Bazmee berjudul "Pagalpanti" di London.

Selain itu, dia juga akan membintangi filem drama gengster berjudul "Mumbai Saga" yang turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Kajal Aggarwal, Jackie Shroff, Suniel Shetty, Prateik Babbar, Gulshan Grover, Rohit Roy dan Amole Gupte.

(Sumber foto: Sekho India)
(Sumber artikel: Hindustan Times)


Cinema Online, 6 September 2019