ENG | BM
Buletin
Kajol buat 'tribute' dalam buku biografi Sridevi

Penulis: Nisa Irina


Kajol jadikan Sridevi ikon pelakon yang paling diminatinya.

29 Sep – Sebagai tanda penghargaan buat mendiang Sridevi, bintang popular Bolllywood Kajol telah menulis kata-kata pengantar bagi buku biografi yang diterbitkan khas buat aktres tersebut.

Diberi judul "Sridevi: The Eternal Screen Goddess", buku tersebut ditulis oleh Satyarth Nayak dan diterbitkan oleh syarikat penerbitan Penguin Random House.

Seperti yang dilaporkan, buku itu diterbitkan selepas mendapat kelulusan daripada suami Sridevi yang juga seorang penerbit juga aktor, Boney Kapoor.

"Saya membesar melihat zaman kegemilangan Sridevi di set penggambaran filem serta di layar lebar. Dia merupakan contoh bagi lakonan dan akan selama-lamanya menjadi ikon yang paling saya minati.

"Saya sangat berbesar hati kerana Penguin memberi saya peluang untuk menulis kata-kata pengantar ini," ujar Kajol yang dipetik dari laporan dari The Indian Express.

Di samping itu, Kajol yang popular menerusi filem "Dilwale" bersama Shah Rukh Khan berharap, buku tersebut akan dihargai oleh para peminat Sridevi dari seluruh dunia.

Dalam pada itu, Nayak memberitahu Kajol adalah calon paling sesuai untuk memberi 'tribute' menerusi buku tersebut kerana aktres itu berpengalaman merasai kegemilangan Sridevi pada tahun 80-an dan 90-an.

"Sridevi: The Eternal Screen Goddess" mengisahkan kegemilangan Sridevi selama lima dekad penglibatannya dalam industri filem Bollywood. Ia menceritakan kehidupannya sejak menjadi bintang kanak-kanak sehingga bergelar primadona dan lagenda filem India.

Buku yang sebelumnya diberi judul "Sridevi: Girl Woman Superstar" itu turut mengandungi akses eksklusif keluarga, rakan-rakan serta rakan selebriti kepada mendiang aktres tersebut.

(Sumber foto: Alpherald)
(Sumber artikel: The Indian Express)


Cinema Online, 29 September 2019