ENG | BM
Buletin
Karan Johar salahkan diri sendiri atas kegagalan "Kalank"

Penulis: Nisa Irina


Karan Johar nafi penangguhan filem "Takht" ada berkait dengan kegagalan filem "Kalank".

22 Ogos – Kecewa dengan kegagalan filem "Kalank" untuk mencapai kutipan pecah panggung, pembikin filem Karan Johar meletakkan salah itu terhadap dirinya sendiri.

"Saya adalah ketua kumpulan; ahli paling tua berbanding ahli lain; orang yang sepatutnya lebih berpengalaman dan lebih tahu-menahu.

"Saya terlalu terbawa-bawa dengan kisah saya; saya ingin membikin filem ini pada 15 tahun lalu dan ia adalah sebuah kisah yang sangat berkait dengan bapa saya dan dia telah membuat penyelidikan mengenainya," luah Karan.

Menurut laporan yang dipetik dari Hindustan Times, Karan berkata dia meletakkan matlamat yang terlalu tinggi kepada semua pihak dan perkara itu membuatkan dia berasa tidak senang.

Dalam pada itu, dia turut memuji pengarah Abhishek Verman dengan menyifatkan lelaki itu sebagai seorang pembikin filem yang sangat berbakat dalam mengarah filem debutnya.

Selain itu, Karan juga memberi pujian kepada barisan pelakon hebat filem itu yang terdiri daripada Varun Dhawan, Alia Bhatt, Sonakshi Sinha, Aditya Roy Kapoor, Sanjay Dutt dan Madhuri Dixit.

Bercakap mengenai penangguhan bagi pembikinan filem "Takht", Karan menjelaskan perkara itu bukan disebabkan oleh kegagalan "Kalank" tetapi atas beberapa sebab lain.

Sebelum ini, laporan menyatakan Karan telah menangguh filem itu dari September tahun ini ke bulan Februari tahun depan berikutan isu logistik, pelanggaran tarikh serta para pelakon yang terikat dengan komitmen lain.

"Benar, filem "Takht" masih akan diteruskan dan ia akan bermula pada Februari. Saya berasa sangat teruja dan pada masa yang sama, sangat tertekan," katanya.

Filem "Takht" menampilkan barisan pelakon seperti Kareena Kapoor Khan, Ranveer Singh, Alia Bhatt, Vicky Kaushal, Bhumi Pednekar, Anil Kapoor dan Janhvi Kapoor. Ia dijangka akan dirilis pada hujung tahun 2020.

(Sumber foto: The Statesman)
(Sumber artikel: Hindustan Times)


Cinema Online, 22 Ogos 2019