ENG | BM
Buletin
"KL Gangster Underworld: Rise to Power" singkap Kisah Madam Wong

Penulis: Ashraf Nasser


"KL Gangster Underworld: Rise to Power" adalah filem 'spin-off' menceritakan kejadian sebelum "KL Gangster Underworld" musim pertama.

6 Sep – Sambutan luar biasa dan respon positif daripada penonton terhadap siri asal iflix "KL Gangster Underworld" musim pertama akan menyaksikan sebuah filem 'spin-off "KL Gangster Underworld: Rise to Power" terbaru bakal menemui penonton pada 19 September ini.

Filem ini akan berlatar belakang sebelum "KL Gangster Underworld" musim pertama dengan memberi fokus kepada watak Madam Wong yang menceritakan tentang bagaimana satu-satunya wanita yang mengetuai geng di KL. Ia turut memaparkan kisah silam tentang perjuangan Madam Wong atau May Wong menentang tradisi patriarki dalam keluarganya sambil merancang untuk menaiki takhta dengan apa cara sekalipun.

"Apabila kami meneliti semula maklum balas oleh peminat "KL Gangster Underworld" musim pertama, kami sedar mereka begitu tertarik dengan watak Madam Wong lakonan Dynas Mokhtar dan hubungannya bersama Ayah Zan lakonan Hasnul Rahmat.

"Semasa Dynas hamil, kami sebenarnya dalam perancangan untuk musim kedua dan kami menyedari bahawa kami boleh memulakan musim kedua dengan sebuah cerita yang bermula 10 tahun sebelum musim pertama dengan menghidupkan Zan," ujar Pengarah Original Programming iflix Global, Mark Francis dalam satu kenyataan.


Madam Wong merupakan wanita yang cukup kental apabila sanggup 'langgar'
tradisi keluarga demi capai cita-citanya.

Skop Productions dan pengarah berbakat besar Faisal Ishak dan Syafiq Yusof kembali diberi kepercayaan untuk menghasilkan sebuah naskhah berkualiti.

"KL Gangster Underworld: Rise to Power" akan menyaksikan barisan pelakon asal musim pertama kembali menghidupkan watak masing-masing seperti Hasnul Rahmat, Dynas Mokhtar, Azhan Rani, Beto Kusyairy, Zahiril Adzim dan Amerul Affendi.

Selain itu, beberapa muka baru turut ditampilkan seperti Ridzuan Hashim yang akan membawa watak sebagai King (KL Gangster), Elvis Chin, Tony Eusoff, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.

Selepas filem 'spin-off' "KL Gangster Underworld: Rise to Power", musim kedua "KL Gangster Underworld" dijadualkan diriliskan pada tahun 2020.


Cinema Online, 6 September 2019