ENG | BM
Buletin
Kriti Sanon mula penggambaran filem baru "Mimi"

Penulis: Nisa Irina

Kriti Sanon teruja dipilih sebagai watak protagonis buat pertama kali.
Kriti Sanon teruja dipilih sebagai watak protagonis buat pertama kali.

1 Nov– Sejurus selesai merayakan Deepavali, kini aktres Kriti Sanon kembali sibuk dengan dunia perfileman Bollywood dan telah memulakan penggambaran bagi filem terbarunya "Mimi" di Rajasthan.

Filem arahan Laxman Utekar itu menandakan debut Kriti sebagai protagonis, yang mana aktres itu menyifatkan ia sebagai satu pengalaman baru yang mencabar.

"Saya sangat teruja dapat terlibat dengan filem yang mengetengahkan wanita pertama saya kerana ia menyentuh satu subjek yang sangat penting.

"Dalam masa yang sama, saya juga berasa gementar kerana terdapat banyak perkara baru yang perlu saya hadapi dan pelajari," katanya yang dipetik dari The Pioneer.

"Mimi" berkisar mengenai seorang wanita yang mempunyai impian besar dan kehidupannya berubah selepas dia perlu menjadi ibu tumpang.

"Orang kata seseorang itu akan memahami perasaan seorang ibu hanya apabila dia menjadi seorang ibu. Saya dapat merasai pengalaman itu menerusi filem ini," tambah Kriti lagi.

Filem itu diinspirasikan dari sebuah filem Marathi berjudul "Mala Aai Vhaaychya" yang pernah memenangi anugerah Filem Cereka Terbaik Marathi peringkat kebangsaan pada tahun 2011.

Kriti akan digandingkan bersama aktor Pankaj Tripathi dan filem itu dijangka akan ditayangkan pada 2020.

(Sumber foto: Apherald)

(Sumber artikel: The Pioneer)


Cinema Online, 1 November 2019