ENG | BM
Buletin
Mawi tak sangka "Tiada Tajuk" tercalon di ASK 2019

Penulis: Ashraf Nasser

Mawi berkata usahanya menghasilkan "Tiada Tajuk" berbaloi apabila tercalon di ASK 2019.
Mawi berkata usahanya menghasilkan "Tiada Tajuk" berbaloi apabila tercalon di ASK 2019.

31 Okt – Pelakon, penyanyi, pengarah dan penerbit Mawi meluahkan rasa bersyukur dan tidak menyangka apabila filem sulung arahan dan terbitannya berjudul "Tiada Tajuk" berjaya tercalon di Anugerah Skrin (ASK) 2019.

"Saya menghasilkan filem berkenaan kerana minat dalam dunia perfileman, selain sebahagian daripada peracnagan perniagaan.

"Justeru, saya tidak menyangka apabila ia turut dipilih untuk bersaing pada ASK kali ini. Saya difahamkan, "Tiada Tajuk" layak bersaing dalam beberapa kategori termasuk Lakon Layar Terbaik," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Menurut Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, ketika dia menghasilkan filem "Tiada Tajuk" tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menang anugerah sebaliknya menghasilkan filem itu kerana minatnya yang mendalam terhadap dunia perfileman.

Tambahnya lagi, pencalonan di ASK 2019 sedikit sebanyak membuatkan usaha dan kerja keras untuk menghasilkan filemnya berbaloi.

Filem "Tiada Tajuk" yang dibintangi oleh Hazama, Joey Daud dan Along Cham ini adalah kesinambungan daripada telefilem popular berjudul "Rock Sangkut".

Dalam pada itu, Mawi berkata dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang sebarang anugerah sebaliknya tercalon di ASK 2019 adalah satu penghargaan dan pengiktirafan terhadap filemnya.

Malam kemuncak ASK 2019 akan berlangsung pada Jumaat ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Cinema Online, 31 Oktober 2019