ENG | BM
Buletin
"M.O.X-Misi Operasi X" ambil masa 6 tahun untuk dihasilkan

Penulis: Ashraf Nasser


Zulkiflie M. Osman yakin pelakon yang dipilih akan berikan lakonan yang berkualiti.

30 Oct – Walaupun filem-filem berkisarkan mengenai ejen perisik sangat popular dan diminati, namun tidak ramai pembikin filem tempatan yang berani untuk menghasilkan seperti ini dan ini telah membuatkan seorang pengarah filem Datuk Zulkiflie M. Osman nekad untuk menghasilkan "M.O.X – Misi Operasi X".

Menurut Zulkiflie, dia bukan menghasilkan filem itu secara spontan sebaliknya dibuat berdasarkan kajian yang dilakukannya sebelum ini.

"Saya pernah membuat kajian tentang bencana akhir zaman yang berpunca daripada senjata rahsia ciptaan manusia. Kemudian ia telah memberi idea kepada saya untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan kajian yang dibuat, namun menyelitkan elemen-elemen komersial," ujarnya.

Tambahnya lagi, dia mengambil masa yang cukup lama iaitu hampir enam tahun untuk menghasilkan skrip sahaja kerana mahu memastikan segala fakta dan mesej yang ingin disampaikan tidak lari dari objektif sebenar, biarpun ia sebuah filem komersial.

Pada masa sama pengarah turut menyentuh soal pemilihan pelakon yang mana setiap pelakon yang dipilih adalah berdasarkan kesesuaian watak yang ditampilkan.

Zulkiflie bukanlah asing dalam dunia perfileman tempatan kerana sebelum ini dia sudah mengarah 14 buah filem antaranya "Diari Romeo", "Mira Edora", "Cinta Metropolitan" dan banyak lagi.

Dalam pada itu, filem terbitan Wallworld Pictures Sdn Bhd ini menampilkan barisan pelakon mantap seperti Ebi Kornelis, Tya Arifin, Zaidi Omar, Radhi Khalid, Shareeta Selvaraj, Adam Shahz dan ramai lagi.

Ia berkisarkan mengenai seorang ejen perisik Don Pedro sedang melaksanakan misi rahsia di Filipina untuk menyelamatkan seorang penuntut Malaysia yang berjaya menggodam maklumat perancangan sebuah organisasi haram iaitu KFR13 yang telah mengancam dan membunuh ejen-ejen M.O.X.

Berikutan itu, Don Pedro kini perlu berdepan dengan ejen-ejen KRF13 yang memburunya untuk menghapuskan bukti dan membunuhnya.

"M.O.X – Misi Operasi X" bakal menemui penonton di seluruh negara pada 21 November.


Cinema Online, 30 Oktober 2019