ENG | BM
Buletin
Nadia Brian mahu ambil tindakan terhadap seorang penulis blog

Penulis: Ashraf Nasser

Nadia Brian kesal dengan penulis blog yang tidak beretika dalam menulis artikel
Nadia Brian kesal dengan penulis blog yang tidak beretika dalam menulis artikel

1 Nov – Pelakon Nadia Brian memberitahu dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang penulis blog yang menulis artikel berdasarkan komen netizen yang mengaib dan menjatuhkan reputasinya.

"Saya rasa ini sudah keterlaluan. Blog itu menulis artikel berkaitan diri saya dengan hanya memetik komen daripada netizen yang menulis komen negatif mengenai saya. Yang hairannya, bila saya cari semula komen itu di platform media sosial, tak ada pula.

"Artikel itu menjatuhkan reputasi saya dan sekarang sedang berbincang dengan pihak pengurusan, peguam, tunang dan keluarga untuk mengambil tindakan selanjutnya," soalnya yang dipetik dari Harian Metro.

Dalam pada itu, Nadia berkata netizen boleh menulis apa sahaja yang mereka mahu tetapi sebagai penulis blog mereka seharusnya melakukan kerja dengan beretika dan bukannya menulis artikel mengenai komen negatif sebagai tajuk untuk menarik trafik ke blog mereka.

Tambahnya lagi dia sendiri merupakan pelajar dalam bidang penyiaran selama tiga tahun dan tahu bagaimana etika dalam media.

"Inilah beza antara penulis blog dan juga wartawan dari media yang asli kerana wartawan menjalankan kerja mengikut etika."

Dalam perkembangan lain, Nadia kini sedang sibuk melakukan persiapan untuk hari bahagiannya yang mana ia bakal berlangsung pada 9 November ini.

(Sumber foto: Nadia Brian Instagram)


Cinema Online, 1 November 2019