ENG | BM
Buletin
Nawazuddin Siddiqui ingin hentikan stereotaip hero romantik

Penulis: Nisa Irina

Nawazuddin Siddiqui ingin berlakon filem yang sesuai ditonton oleh anak perempuannya.
Nawazuddin Siddiqui ingin berlakon filem yang sesuai ditonton oleh anak perempuannya.

30 Okt – Aktor Nawazuddin Siddiqui mengakui sebelum ini dia tidak pernah ditawarkan untuk membintangi filem-filem romantik kerana dirinya dianggap tidak sesuai untuk menjayakan genre tersebut.

Menurut Nawaz, buat masa ini dia akan berehat dari membintangi filem-filem bergenre gelap kerana ingin beralih tumpuan kepada genre komedi romantik yang lebih sesuai buat tontonan sekeluarga, termasuk anak perempuannya.

"Sudah lama saya meminati dan ingin berlakon filem bergenre komedi romantik. Buat pertama kali, saya akan terlibat dengan genre ini.

"Saya sering merasakan saya tidak layak untuk dipilih sebagai watak romantik dan tidak pernah ditawarkan kerana penampilan saya tidak seperti hero romantik," katanya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Tambah aktor yang bakal membuat debut romantik komedi menerusi filem "Motichoor Chaknachoor" itu, dia ingin menamatkan stereotaip yang mana hero romantik hanya sesuai dilakonkan oleh aktor yang tinggi lampai dan kacak sahaja.

Filem arahan Debamitra Biswal itu turut dibintangi aktres Athiya Shetty sebagai peneraju utama di samping Nawaz. Ia berkisar mengenai seorang lelaki yang cuba mencari teman hidupnya.

Bakat Nawaz dalam genre itu bakal diperkembangkan lagi apabila dia dipilih untuk membintangi dua buah filem komedi romantik berjudul "Bole Chudiyan" dan "Chalta Purza".

Kedua-dua buah filem yang kini dalam proses pembikinan itu merupakan arahan adiknya, Shamas Siddiqui, yang baru berjinak-jinak dalam bidang pengarahan.

Filem "Motichoor Chaknachoor" akan ditayangkan di pawagam pada 15 November ini.


Cinema Online, 30 Oktober 2019