ENG | BM
Buletin
Nushrat Bharucha pernah ditolak lakon watak utama filem Hollywood

Penulis: Nisa Irina


Nushrat Bharucha adalah salah seorang finalis yang tercalon untuk membintangi "Slumdog Millionaire".

11 Sep – Aktres Nushrat Bharucha mendedahkan bahawa dia pernah dipanggil untuk menghadiri sesi uji bakat bagi filem Hollywood pemenang anugerah Oscar iaitu "Slumdog Millionaire".

Walau bagaimanapun, atas faktor rupa parasnya yang menawan, pembikin filem berpendapat dia tidak sesuai untuk menjayakan watak seorang gadis kampung bernama Latika.

"Saya rasa imej saya menjadi punca dalam persepsi orang lain. Saya adalah salah seorang yang tercalon bagi peneraju wanita utama dalam filem "Slumdog Millionaire" bersama Freida Pinto.

"Malangnya, saya tidak terpilih kerana rupa paras saya. Pihak produksi Danny Boyle (pengarah) kemudiannya menjelaskan kepada saya bahawa rupa saya tidak kelihatan seperti gadis kampung," katanya menerusi laporan dari Bollywood Life.

Tambahnya lagi, pihak produksi memberitahu dia adalah seorang aktres yang hebat dan semuanya sempurna kecuali rupa parasnya yang tidak bersesuaian dengan karakter tersebut.

"Slumdog Millionaire" 2008 yang dibintangi oleh Dev Patel dan Freida Pinto telah merangkul lapan anugerah Oscar termasuk kategori Pengarah Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Dalam perkembangan lain, aktres berusia 34 tahun itu sedang sibuk mempromosikan filem terbarunya bersama aktor Ayushmann Khurrana berjudul "Dream Girl".

Filem komedi arahan Raaj Shaandilyaa itu turut dibintangi oleh Vijay Raaz dan Annu Kapoor dan bakal menemui penonton di pawagam bermula 13 September ini.

(Sumber foto: First Showz)
(Sumber artikel: Bollywood Life)


Cinema Online, 11 September 2019