ENG | BM
Buletin
Nushrat Bharucha bosan galas watak sama

Penulis: Nisa Irina

Nushrat Bharucha tidak meletakkan had kepada kariernya sebagai pelakon.
Nushrat Bharucha tidak meletakkan had kepada kariernya sebagai pelakon.

17 Okt – Tampil membintangi siri filem "Pyaar Ka Punchnama" sejak 2011, aktres Nushrat Bharucha memberitahu dia sering terikat dengan watak yang sama kerana francais filem tersebut.

"Imej yang dihasilkan dari "Pyaar Ka Punchnama" dan "Pyaar Ka Punchnama 2" menyebabkan saya sering menerima tawaran watak dan filem yang sama dan saya tak mahu ia terus berlaku.

"Saya ingin lakukan sesuatu yang saya tak pernah lakukan sebelum ini. Tak boleh ke seseorang aktor itu dilihat sebagai aktor yang serba boleh?

"Ia merupakan satu tanggungjawab untuk seseorang aktor itu menjayakan sesebuah watak mengikut pemahaman dan bakat mereka tersendiri," ujarnya yang dipetik dari Mid-Day.

Kali terakhir Nushrat dilihat di skrin lebar adalah menerusi filem komedi "Dream Girl" yang ditayangkan pada 13 September lalu. Filem itu menampilkan aktor Ayushmann Khurrana sebagai peneraju utama.

Menurut Nushrat, dia berasa senang hati kerana pembikin filem mempercayai kemampuannya serta memberinya peluang membintangi watak yang berbeza menerusi filem "Dream Girl", "Turram Khan" dan "Hurdang".

Dalam perkembangan lain, Nushrat akan membuat penampilan istimewa menerusi filem "Marjaavaan", yang dibintangi Riteish Deshmukh, Sidharth Malhotra, Tara Sutaria dan Rakul Preet Singh.

Di samping itu, dia juga sedang sibuk menjalani penggambaran bagi filem "Turram Khan" arahan Hansal Mehta, bersama aktor Rajkummar Rao. Filem itu bakal ditayangkan di pawagam pada 31 Januari 2020.

(Sumber foto: Nushrat Bharucha Twitter)
(Sumber artikel: Mid-Day)


Cinema Online, 17 Oktober 2019