ENG | BM
Buletin
Patung lilin Ranveer Singh bakal dipamer di Madame Tussauds London

Penulis: Nisa Irina


Ranveer Singh teruja dianugerahkan sebuah patung lilin di Madame Tussauds London.

20 Sep – Selepas patung lilin aktres Deepika Padukone dilancarkan di muzium Madame Tussauds London pada Mac lalu, kini aktor Ranveer Singh, bakal mengikut jejak langkah isterinya.

Berita gembira itu dikongsikan oleh Ranveer ketika berucap di pentas Anugerah Akademi Filem India Antarabangsa (AAFIA) 2019 yang diadakan di Mumbai pada Rabu.

Aktor yang popular dengan filem "Gully Boy" itu berjaya merangkul anugerah Aktor Terbaik bagi filem "Padmaavat", yang turut dibintangi Deepika dan Shahid Kapoor.

Menurut Ranveer, ibu mertuanya Ujjala Padukone memintanya untuk bekerja keras sehingga dia layak mendapat sebuah patung lilin sendiri di muzium tersebut.

"Patung lilin isteri saya adalah yang paling seksi dan sempurna. Deepika merupakan seseorang yang mementingkan kesempurnaan dan sangat berdedikasi.

"Dia dan Morgan Freeman mempunyai patung lilin yang terbaik. Sekarang saya perlu memikirkan pakaian dan gaya untuk patung lilin saya," ujarnya yang dipetik dari India Today.

Pasangan Ranveer dan Deepika disatukan sebagai suami isteri pada November tahun lalu dalam sebuah majlis perkahwinan yang diadakan secara besar-besaran di Tasik Como.

Mereka bakal digandingkan dalam filem terbaru "83", di mana Ranveer akan membawa watak atlet kriket lagenda, Kapil Dev, sementara Deepika menjadi isterinya, Romi Dev.

(Sumber foto: GQ India)
(Sumber artikel: India Today)


Cinema Online, 20 September 2019