ENG | BM
Buletin
Pengarah kesal banyak babak filem "Wangi" dipotong

Penulis: Nisa Irina


Pengarah Yeop Hitler, penerbit Shuhada Mohd serta barisan pelakon utama filem "Wangi".

30 Ogos – Genre psiko thriller seringkali menarik minat ramai penggemar filem sama ada tempatan atau antarabangsa sebagai satu bentuk hiburan.

Bagaimanapun, pengarah Mohd Latiff Zami atau lebih dikenali sebagai Yeop Hitler, mengakui kekurangan yang dilihat menerusi filem psiko thriller terbaru arahannya yang berjudul "Wangi".

"Jalan ceritanya agak mengelirukan kerana Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah memotong beberapa babak dalam filem ini termasuk babak penting mengenai latar belakang watak utama.

"Kemungkinan juga ianya salah saya kerana menyelitkan banyak babak yang boleh dikatakan terlalu ekstrim dan mengerikan hingga tidak sesuai untuk ditonton.

"Namun begitu, kami terpaksa akur kepada pihak LPF memandangkan mereka memberi pilihan sama ada memotong babak-babak itu atau tidak menayangkan filem ini," ujarnya yang ditemui di majlis sidang media selepas tayangan perdana filem "Wangi" di mmCineplexes Damansara semalam.

Menurut Yeop, pada asalnya "Wangi" hanyalah sebuah telefilem, namun selepas tamatnya proses pos produksi, dia bersama pihak produksi bercadang untuk mengangkat naskhah itu ke layar lebar.

Dalam pada itu, peneraju utama filem Sharnaaz Ahmad berkata, pada mulanya dia tidak menyangka naskhah ini akan diangkat ke layar lebar.

"Sejujurnya saya tidak berpuas hati dengan lakonan saya kerana selepas mendapat tahu ia adalah sebuah filem, saya rasa saya boleh buat lebih baik.

"Saya ada suarakan rasa tidak puas hati mengenai babak-babak yang dipotong kepada pihak produksi namun apakan daya ketika itu proses pos produksi sudah pun siap. Saya rasa ada lebih lima babak saya yang dipotong.

"Kami ada mengadakan penggambaran semula tetapi saya tidak tahu babak itu akan diletakkan pada akhir filem sebagai sebuah video muzik. Walaupun banyak yang perlu diperbaiki, tetapi saya harap jalan cerita ini akan sampai kepada penonton," katanya.

Sebelumnya, pelakon itu telah menyuarakan rasa tidak puas hati apabila terdapat kesalahan ejaan pada namanya yang tertera di poster filem tersebut.

Selain Sharnaaz, filem itu turut menampilkan pelakon lain seperti Erra Fazira, Nabila Huda, Syazwan Zulkifly, Mia Nasir dan pelakon cilik Nik Adam Mika.

Penerbit filem Shuhada Mohd berkata dia mendapat inspirasi untuk menghasilkan filem ini atas minatnya terhadap filem-filem seram dan misteri.

""Wangi" merupakan tajuk yang sukar ditafsirkan kerana ia subjektif dan bergantung pada persepsi individu.

"Filem ini memaparkan kisah tentang sebuah keluarga bahagia dari pandangan zahirnya, tetapi disebaliknya ia mempunyai rahsia hitam yang tersembunyi," tambahnya lagi.

Malam gala tayangan perdana filem "Wangi" itu turut dimeriahkan oleh persembahan penyanyi kumpulan rock indie Hujan iaitu Noh Salleh, yang menyanyikan runut bunyi filem berjudul "Bisikan".

"Wangi" akan menghantui penonton di pawagam bermula 5 September ini.


Cinema Online, 30 Ogos 2019