ENG | BM
Buletin
Pembikin filem batalkan tayangan "Lootcase" di pawagam

Penulis: Nisa Irina

Filem "Lootcase" dibintangi oleh aktor Kunal Khemu.
Filem "Lootcase" dibintangi oleh aktor Kunal Khemu.

3 Okt – Pembikin filem "Lootcase" mengumumkan bahawa filem itu tidak akan ditayangkan di pawagam, sebaliknya ia bakal ditayangkan secara eksklusif di sebuah portal penstriman video terkenal.

Pada mulanya, filem itu dijadualkan untuk dirilis pada 11 Oktober ini, namun pembikin membatalkan tayangan tersebut kerana beralih tumpuan kepada pelantar digital.

Diarahkan oleh Rajesh Krishnan, filem itu dibintangi oleh Kunal Kemmu sebagai peneraju utama, di samping pelakon lain seperti Rasika Dugal, Gajraj Rao, Vijay Raaz dan Ranvir Shorey.

"Pembikin filem telah mengadakan satu mesyuarat pada Sabtu dan membuat keputusan untuk tidak menayangkannya di pawagam.

"Walaupun yakin dengan filem itu, namun mereka sedar bahawa sambutan agak kurang. Tambahan lagi, peneraju utama tidak cukup terkenal untuk menarik penonton ke pawagam.

"Tidak lupa juga dengan persaingan antara filem-filem besar lain seperti "War", "Sye Raa Narasimha Reddy", "Joker" serta "The Sky Is Pink" yang sama tarikh tayangan dengan "Lootcase"," dedah satu sumber terdekat menerusi Bollywood Hungama.

Tambahnya lagi, memandangkan perayaan Deepavali semakin hampir, orang ramai akan lebih sibuk membeli belah serta melakukan aktiviti lain dan perkara itu akan menyebabkan kutipan filem berkurang.

Selain itu, syarikat produksi Fox Star Studios ingin lebih berhati-hati dan tidak mahu filem "Lootcase" berakhir seperti filem mereka "The Zoya Factor" yang kurang mendapat sambutan di India.

Beberapa minggu lalu, filem "Drive" terbitan Karan Johar yang sudah lama ditangguh juga telah dibatalkan tayangan di pawagam dan hanya akan ditayangkan di portal penstriman video.

(Sumber foto: Box Office Movies India)
(Sumber artikel: Bollywood Hungama)


Cinema Online, 3 Oktober 2019