ENG | BM
Buletin
Perkahwinan Priyanka Chopra dan Nick Jonas bakal ke layar perak

Penulis: Nisa Irina

Priyanka Chopra telah berkahwin dengan Nick Jonas pada Disember 2018.
Priyanka Chopra telah berkahwin dengan Nick Jonas pada Disember 2018.

9 Okt – Perkahwinan antara bintang Bollywood Priyanka Chopra dan penyanyi Hollywood Nick Jonas sememangnya menjadi buah mulut orang ramai di seluruh dunia pada hujung tahun lalu.

Seperti yang dilaporkan oleh Mumbai Mirror baru-baru ini, Priyanka mendedahkan bahawa dia sedang terlibat dalam sebuah projek filem baru berdasarkan perkahwinannya bersama Nick.

"Saya telah menamatkan sesi penggambaran bagi dua buah filem Inggeris. Saya juga akan menerbitkan dua buah filem lagi. Salah satunya adalah filem komedi berdasarkan perkahwinan saya.

"Filem yang kedua adalah sebuah biopik mengenai Ma Anand Sheela, yang mana ia akan diarahkan oleh pembikin filem Amerika yang juga pemenang anugerah Oscar, Barry Levinson," katanya.

Menurut aktres berusia 37 tahun itu lagi, penggambaran filem tersebut akan dimulakan pada tahun 2020 di beberapa lokasi termasuk New Delhi.

Selain itu, filem berkenaan akan turut dibintangi oleh aktres Amerika Mindy Kaling, yang pernah membintangi filem "Ocean's 8", "Inside Out", "A Wrinkle In Time" dan "Wreck-It Ralph".

Buat masa ini, Priyanka memberitahu dia tidak menandatangani sebarang projek filem Hindi terbaru selepas membintangi "The Sky Is Pink" bersama aktor Farhan Akhtar.

Filem yang diinspirasikan dari kisah benar mengenai keluarga penceramah motivasi Aisha Chaudhary itu diarahkan oleh Shonali Bose dan akan ditayangkan pada 11 Oktober ini.

(Sumber foto: Business Recorder)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)


Cinema Online, 9 Oktober 2019