ENG | BM
Buletin
Radhika Apte ingin teroka bidang seni dengan lebih mendalam

Penulis: Nisa Irina

Radhika Apte anggap perjalanannya dalam dunia seni masih jauh.
Radhika Apte anggap perjalanannya dalam dunia seni masih jauh.

8 Okt – Biarpun sudah dikenali sebagai salah seorang aktres versatil Bollywood, Radhika Apte memberitahu bahawa dia ingin terus mencabar diri dan keluar dari zon selesa dalam kerjaya seninya.

"Saya rasa banyak lagi yang perlu saya terokai dalam bidang ini. Saya ingin lebih banyak cabaran. Saya tidak boleh berpuas hati dengan apa yang saya ada sekarang.

"Banyak lagi perkara yang saya ingin lakukan dan perjalanan saya masih jauh lagi," ujarnya menerusi laporan yang dipetik dari Bollywood Bubble.

Selepas menjayakan filem Netflix arahan Karan Johar, Anurag Kashyap, Zoya Akhtar dan Dibakar Banerjee berjudul "Lust Stories", Radhika telah tercalon dalam kategori Aktres Terbaik bagi Anugerah Emmy Antarabangsa 2019.

Dalam perkembangan lain, Radhika akan membintangi sebuah siri drama berjudul "Shantaram" bersama aktor Hollywood, Charlie Hunnam, yang akan disiarkan menerusi portal penstriman video Apple TV+.

Selain itu, dia juga akan tampil dalam filem Hollywoodnya yang kedua arahan Lydia Dean Pilcher, "Liberte: A Call to Spy", sebagai watak seorang perisik British bernama Noor Inayat Khan.

Menerusi filem Bollywood pula, dia akan berkongsi skrin bersama aktor Nawazuddin Siddiqui dalam filem "Raat Akeli Hai", di mana mereka baru sahaja menamatkan jadual pertama penggambaran di Lucknow.

(Sumber foto: GQ India)
(Sumber artikel: Bollywood Bubble)


Cinema Online, 8 Oktober 2019