ENG | BM
Buletin
Rashmika Mandanna bakal buat debut filem Hindi?

Penulis: Nisa Irina


Filem "Jersey" akan menandakan debut filem Hindi buat Rashmika Mandanna.

6 Sep – Aktres Kannada Rashmika Mandanna telah ditawarkan untuk membintangi filem Bollywood di samping aktor Shahid Kapoor menerusi filem 'remake' berjudul "Jersey".

Selepas memilih Shahid sebagai peneraju utama filem itu, pembikin filem yang sedang mencari aktres gandingan Shahid, bercadang untuk memberi tawaran tersebut kepada Rashmika.

"Shahid telah bertemu dengan pembikin filem dan mereka berbincang mengenai siapa aktres yang sesuai untuk diangkat sebagai heroin.

"Mereka bercadang untuk mengambil Rashmika memandangkan dia adalah salah seorang bintang filem yang semakin terkenal," ujar satu sumber terdekat.

Menurut laporan dari Pinkvilla, Rashmika pernah membintangi beberapa filem Telugu seperti "Dear Comrade", "Geetha Govindam", "Sarileru Neekevvaru" dan banyak lagi.

Walaupun dilihat tertarik dengan tawaran filem 'remake' itu, namun buat masa ini Rashmika masih belum memberi sebarang jawapan kepada penerbit.

Jika Rashmika memberi persetujuan kepada tawaran penerbit, filem arahan Gautam Tinnanuri itu akan menandakan filem Hindi debut buat aktres tersebut.

Sumber turut mendedahkan bahawa pembikin merancang untuk memulakan penggambaran pada November tahun ini.

"Jersey" adalah sebuah 'remake' bagi filem Telugu romantik berjudul "Arjun Reddy" arahan Sandeep Vanga yang dibintangi oleh Vijay Deverakonda dan Shalini Pandey.

(Sumber foto: Twipu)
(Sumber artikel: Pinkvilla)


Cinema Online, 6 September 2019