ENG | BM
Buletin
Saharul Ridzwan mahu jadi pengarah jika tidak lagi berlakon

Penulis: Ashraf Nasser

Saharul Ridzwan bakal muncul dengan filem aksi pertamanya berjudul "Coast Guard".
Saharul Ridzwan bakal muncul dengan filem aksi pertamanya berjudul "Coast Guard".

31 Okt – Pelakon Saharul Ridzwan menyuarakan hasratnya untuk menceburi bidang pengarahan pula selepas ini sekiranya dia sudah tidak lagi berlakon.

"Jika tidak lagi berlakon, saya ingin menjadi pengarah kerana jiwa saya memang dalam bidang ini. Ketika ini, saya perlahan-lahan belajar dengan abang Pali selok-belok urusan di balik tabir," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Dalam pada itu, Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim berkata selain berlakon dia juga membuat persedian awal untuk masa depannya dengan menjalankan perniagaan supaya tidak terlalu bergantung kepada tawaran berlakon sahaja.

Ini kerana ketika ini dia tidak lagi menerima tawaran berlakon sewenang-wenangnya, sebaliknya bersikap selektif.

Bercerita lanjut mengenai kerjaya seninya, pelakon berusia 30 tahun itu yang sudah memenangi pelbagai anugerah masih lagi mengikuti nasihat pelakon senior terkenal iaitu Azhan Rani yang sentiasa merendah diri dan bijak mengatur strategi untuk terus kekal relevan dalam industri.

"Saya masih ingat abang Azhan Rani pernah memberitahu, sekali berada di atas kita perlu berhati-hati. Memang saya boleh pilih jalan mudah untuk popular, tetapi apakah ia menjamin saya terus bertahan.

"Saya kagum dengan pelakon seperti Beto Kusyairy. Mungkin wajahnya tidak selalu ditonton di skrin televisyen, tetapi namanya sentiasa ada dalam industri. Nak popular memang mudah, tetapi untuk bertahan dan konsisten itu paling sukar."

Dalam perkembangan lain, Saharul bakal muncul dengan filem sulungnya tidak lama lagi berjudul "Coast Guard" yang mana dia akan membawa watak sebagai Leftenan Hafiz iaitu pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Filem yang akan menemui penonton pada Ogos 2020 ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Fauzi Nawawi, Julia Farhana Marin dan ramai lagi.

(Sumber foto: Saharul Ridzwan Instagram)


Cinema Online, 31 Oktober 2019