ENG | BM
Buletin
Salman Khan umum tayangan "Inshallah" ditunda

Penulis: Nisa Irina


Salman Khan akan menggantikan tarikh tayangan "Inshallah" dengan filem lain lakonannya.

27 Ogos – Bintang Bollywood Salman Khan telah mengumumkan filem "Inshallah" tidak akan ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan menerusi laman Twitter pada Ahad lalu.

Walaupun filem "Inshallah" ditunda, namun Salman menjanjikan kepada para peminatnya bahawa sebuah filem lain lakonannya akan ditayangkan pada tarikh berikut.

"Filem arahan Sanjay Leela Bhansali telah ditunda namun saya akan menemui anda pada Hari Raya Aidilfitri , 2020. Insha-Allah!!" tulisnya menerusi status yang dimuat naik tersebut.

Bagaimanapun, menurut laporan dari Times of India, pembikin filem dan para pelakon tidak mendedahkan sebab mengapa filem itu ditunda. Tarikh tayangan yang baru juga akan diumumkan kelak tetapi bukan dalam masa terdekat.

Sebelumnya, penggambaran filem yang menggandingkan Salman dan aktres Alia Bhatt itu dilaporkan akan bermula pada September ini.

Dalam perkembangan lain, Salman sedang menantikan tayangan siri filem aksi terbarunya berjudul "Dabangg 3" pada 20 Disember tahun ini.

Filem arahan Prabhu Deva itu turut menampilkan aktres Sonakshi Sinha dan aktor lain seperti Sudeep Sanjeev, Arbaaz Khan, Tinnu Anand dan ramai lagi.

(Sumber foto: Splash Pinterest)
(Sumber artikel: Times of India)


Cinema Online, 27 Ogos 2019