ENG | BM
Buletin
Sanya Malhotra sah bintangi biopik Shakuntala Devi

Penulis: Nisa Irina


Sanya Malhotra tidak sabar untuk bekerjasama dengan Vidya Balan dalam filem biopik Shakuntala Devi.

25 Sep – Pembikin filem biopik mengenai penulis dan pakar Matematik terkenal Shakuntala Devi, mengumumkan bahawa aktres Sanya Malhotra telah dipilih untuk membintangi filem tersebut.

Dalam filem itu, Sanya akan menjayakan watak anak perempuan Devi, yang akan dilakonkan oleh Vidya Balan, bernama Anupama Banerji.

Menurut laporan yang dipetik dari India Today, penglibatannya dalam filem itu turut menandakan debut kolaborasinya bersama Vidya Balan.

"Saya sangat teruja dapat membawa watak anak perempuan Shakuntala Devi yang ikonik. Semua orang tahu mengenai pencapaian dan kejayaan pakar Matematik itu.

"Saya juga tidak sabar untuk membawakan hubungan dinamik ibu dan anak ini ke layar perak dan bekerjasama dengan Vidya Balan," ujar Sanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, selepas meluangkan masa bersama Anupama, pengarah Anu Menon beranggapan bahawa aktres filem "Dangal" itu adalah calon terbaik untuk menjayakan watak tersebut.

Menon memberitahu bahawa dia tidak sabar untuk bekerjasama dengan kedua-dua aktres itu dan berasa yakin para penonton akan menyukai watak mereka.

Berjudul "Shakuntala Devi Human Computer", filem itu akan menceritakan kisah penulis dan pakar Matematik yang juga dikenali sebagai 'manusia komputer', Shakuntala Devi.

Beliau dikenali dengan bakatnya untuk membuat kira-kira dengan hanya menggunakan otak. Bakatnya mula diketahui ketika usianya baru mencecah lima tahun, di mana dia berjaya menyelesaikan soalan Matematik untuk pelajar 18 tahun.

Penggambaran filem dijangka bermula pada penghujung bulan ini dan dijadual untuk ditayangkan di pawagam pada musim panas 2020.

(Sumber foto: Gethu Cinema)
(Sumber artikel: India Today)


Cinema Online, 25 September 2019